Rupa-rupanya bukan istana Raja Bersiong

Tinggalan sisa runtuhan Istana Tunku Kudin.
A
A

ALOR SETAR - Istana lama berusia kira-kira 150 tahun di Bukit Tinggi, bukanlah istana Raja Bersiong seperti didakwa orang ramai.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof menafikan dakwaan bahawa istana lama itu kepunyaan Raja Bersiong.

“Sebaliknya, istana lama itu adalah kepunyaan Raja Muda Kedah, Tunku Kudin atau nama sebenarnya Tunku Dhiauddin ibni Sultan Zainal Rashid,” katanya.

Wan Samsudin berkata, istana dua tingkat itu dipercayai dibina ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 1854 hingga 1879.

“Istana yang terletak berdekatan Taman Tabung Haji Kepala Batas itu mempunyai keunikan tersendiri kerana dibina menggunakan telur putih dan manisan lebah dipercayai bagi menguatkan struktur dan binaannya,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini masih ada yang salah sangka istana itu milik seorang raja yang gemar memakan darah manusia, iaitu Raja Bersiong, namun dakwaan itu sama sekali tidak benar.

“PSMCK tegaskan, istana ini bukan milik Raja Bersiong sebagaimana diperkatakan orang ramai, ia milik Raja Muda Kedah dikenali Tunku Kudin lebih 100 tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, terdapat banyak tempat-tempat lama di Kedah dianggap mempunyai kaitan dengan Raja Bersiong, bagaimanapun sehingga kini kesahihannya diragui.

Antaranya, kubur Raja Bersiong di Kuala Muda, tiang bendera Raja Bersiong di Tikam Batu dan keris di Kampung Kota Bukit, Jeneri.

“Beberapa lokasi ini dikaitkan dengan Raja Bersiong, namun secara realitinya dia tidak wujud dalam pemerintah raja Kedah, sebaliknya dicipta dalam buku semata-mata,” katanya.

Wan Samsudin berkata, Raja Bersiong sebenarnya tidak wujud dan hanya watak yang direka bagi menggambarkan seorang raja kejam dalam satu episod Hikayat Merong Mahawangsa.

“Disebabkan itu, PSMCK sentiasa memberi penerangan berkaitan istana itu dari semasa ke semasa kepada orang awam demi menjelaskan salah faham itu,” katanya.

Tiang didakwa dibina menggunakan manisan lebah teguh berdiri sehingga kini.
Tiang didakwa dibina menggunakan manisan lebah teguh berdiri sehingga kini.

Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya berharap istana lama di negeri ini dapat dipulihara semula kerana memiliki daya tarikan pelancongan bersejarah.

Istana Tunku Kudin

Berdasarkan mitos, istana lama berkenaan pada asalnya milik seorang raja zaman silam Kedah, iaitu Raja Bersiong sebelum diwarisi Tengku Kudin.

Manakala, sebuah perigi besar kini tertimbus berhampiran tapak tinggalan sejarah ini didakwa pernah dijadikan tempat pembuangan tulang orang Manchu China yang sudah dimakan.

Menurut kisah orang tua-tua, dahulunya terdapat tinggalan blok bata dipercayai makam terletak berhampiran perigi besar terbabit, bagaimanapun batu nisannya dikatakan patah dan kemudiannya hilang.

Bagaimanapun, dikhabarkan tempat bersejarah milik raja yang gemar makan darah manusia ini dikenali Kota Raja Bersiung, sebenarnya terletak di Kampung Pinang Tunggal, Kuala Muda.

Berdasarkan catatan sejarah Kubang Pasu, istana lama itu dikatakan dibina Tunku Kudin pada 1850 mengikut reka bentuk Barat atas tapak seluas 24 hektar.

Selepas dilantik kekandanya, Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1855-1879) sebagai Raja Muda Kedah, Tunku Kudin bertanggungjawab meneroka jalan raya di Utara Kedah hingga ke sempadan Singgora, Selatan Thailand.

Tunku Kudin
Tunku Kudin

Bagaimanapun, Tunku Kudin dipercayai meninggalkan istana lama di kaki Bukit Tinggi tersebut tidak lama kemudiannya, lalu berpindah ke Pulau Pinang sehingga akhir hayatnya pada 1909.

Difahamkan, Sultan Abdul Hamid memberikan istana lama terbabit kepada isteri kedua baginda, Che Manjalara yang juga ibu kepada Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al’Haj.

Malah, Tunku Abdul Rahman dikatakan pernah menghabiskan zaman kanak-kanaknya di istana itu sebelum tinggal di sebuah banglo kecil di tebing Sungai Bukit Pinang, dekat sini.

Raja Bersiong raja zalim

Berdasarkan Sastera Rakyat Negeri Kedah tulisan Atan S B, legenda Raja Bersiong merupakan kisah seorang raja yang zalim hingga menyebabkan rakyat ketakutan yang memerintah Kedah pada zaman dahulu.

Pada suatu hari, tukang masak terhiris jarinya ketika memasak kari kegemaran raja tersebut sehingga beberapa titik darahnya termasuk dalam periuk mengandungi makanan itu.

Sejak itu, Raja Bersiong tidak dapat hidup tanpa memakan darah manusia menyebabkan ramai yang dibunuh demi mendapatkan darah.

Lama-kelamaan, dua taring atau siong tumbuh di sebelah mulutnya berikutan perbuatan raja yang gemar menikmati darah manusia itu.