Buka Parlimen selesaikan krisis, jangan jadi medan 'sarkas'

Pembukaan semula sidang Parlimen secepat mungkin sebagaimana disarankan melalui titah Yang di-Pertuan Agong bakal menjadi pentas rakyat menilai pemimpin politik dan menghakimi mereka pada PRU15.
Pembukaan semula sidang Parlimen secepat mungkin sebagaimana disarankan melalui titah Yang di-Pertuan Agong bakal menjadi pentas rakyat menilai pemimpin politik dan menghakimi mereka pada PRU15.
A
A
A

TOLAK ke tepi soal perdebatan tarikh pembukaan semula sidang Parlimen.

Ibarat kanak-kanak yang berebut alat permainan, begitulah ragam pemimpin-pemimpin politik dalam memberikan respons terhadap titah Yang di-Pertuan Agong yang mencadangkan pembukaan semula sidang Parlimen secepat mungkin, pada Rabu.

Bagi kanak-kanak yang tidak dapat pegang alat permainan berkenaan, pastinya mereka akan menjerit "Ayah suruh bagi saya pula, segera!". Bagi yang sedang bermain dengannya, mereka pula akan membalas "Ayah tak cakap pun bila kena beri".

Hakikatnya, rakyat sebenarnya tidak begitu peduli soal bila Parlimen akan bersidang atau proklamasi darurat ditamatkan segera atau sehingga tarikh ditetapkan iaitu 1 Ogos hadapan.

Sebaliknya, rakyat lebih mahu mengetahui adakah tuntutan pemberian moratorium pukal, peningkatan amaun Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), kelulusan pengeluaran i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 dan yang paling penting, proses pemberian vaksin dapat dilaksanakan dengan segera.

Bukan hendak menidakkan kepentingan peranan institusi Parlimen sebagai badan semak dan imbang urus tadbir kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, sekiranya sidang Parlimen yang kembali dibuka kelak dan sekali lagi menjadi medan 'sarkas' ahli-ahli Parlimen berpolitiking dan berebut kuasa, rakyat pastinya akan lebih meluat!

Bagi rakyat, soal siapa pegang kerajaan sudah tidak penting, tetapi kerajaan itu kena efisien dan benar-benar memahami denyut nadi mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed mendedahkan kadar kemiskinan negara meningkat daripada 5.6 peratus pada tahun 2019 kepada 8.4 peratus pada tahun 2020.

Pada Sabtu, Sekreteriat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) melaporkan lebih 600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan pertengahan (M40) telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40 kerana krisis Covid-19 yang memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia.

Indikator ini sepatutnya memberi keinsafan bukan sahaja dalam kalangan ahli-ahli Parlimen kerajaan, bahkan pemimpin politik pembangkang bahawa musuh paling utama yang harus diperangi mereka adalah tri-krisis meliputi krisis politik, kesihatan dan ekonomi.

Bukannya sibuk tikam-menikam dan berperang sesama sendiri!

Lebih mengecewakan, pada saat si tukang gunting termenung jauh memikirkan hendak makan apa hari ini, pekerja kedai makan hiba menantikan bila boleh kembali bekerja dan usahawan-usahawan kecil menangis memikirkan nasib perniagaan mereka yang bakal gulung tikar.

Ada pula seorang pak menteri dengan rasa megah dan bangga umum negara sudah tunjuk tanda-tanda pemulihan ekonomi pada suku kedua tahun 2021, walaupun pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh diakui memberi kesan kepada ekonomi.

Legitimasi kerajaan PN

Kegusaran rakyat terhadap tindak-tanduk pemain politik apabila sidang Parlimen kembali dibuka, turut dipersetujui cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar.

Secara terbuka, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjangkakan usaha menjatuhkan kerajaan PN akan terus menjadi fokus ahli-ahli Parlimen pembangkang menerusi usul penentuan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ada beberapa individu yang mungkin kerana mereka tamak kuasa, begitu ghairah untuk rebut kuasa, pastinya akan gunakan sidang Parlimen untuk penuhi cita-cita politik mereka.

"Sejujurnya, apabila Parlimen kembali bersidang, bola sebenarnya terletak di kaki Speaker Parlimen bagi memastikan usul-usul persidangan benar-benar tertumpu kepada permasalahan rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bagaimanapun, pandangan itu disangkal oleh seorang pemerhati politik yang berpendapat proses penentuan legitimasi kerajaan tidak dapat lari daripada amalan demokrasi.

Chandra Muzaffar
Chandra Muzaffar

Bagi Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali, kerajaan PN perlu menyedari keperluan pengesahan legitimasi kerajaan adalah sebahagian tuntutan Perlembagaan Persekutuan dengan perkara itu perlu dizahirkan melalui sidang Parlimen.

"Terpulang kepada keberanian kerajaan untuk mendapatkan legitimasi sokongan ahli Parlimen kerana isu ini perlu diselesaikan segera," jelasnya.

Ditanya mengenai persepsi rakyat sekiranya proses perebutan kuasa terus berlaku, Muhammad Asri tidak melihat soal pertukaran kerajaan adalah perkara luar biasa walaupun sewaktu negara berdepan tri-krisis.

Beliau turut merujuk proses pertukaran kepimpinan dalam Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun yang menyaksikan Perdana Menteri terdahulu, Shinzo Abe terpaksa berundur dan digantikan dengan Perdana Menteri baharu, Yoshihide Suga pada penghujung 2020.

"Sekalipun negara mungkin melantik Perdana Menteri baharu, itu merupakan proses biasa amalan demokrasi dengan rakyat tidak boleh melihatnya sebagai keputusan mementingkan diri.

"Justeru, rakyat kena memberi kepercayaan kepada ahli politik bagaimana mewujudkan gabungan baharu dengan kestabilan kerajaan baharu itu kelak bergantung kepada kemampuan Perdana Menteri baharu untuk mengukuhkan koalisi itu," katanya.

Muhammad Asri
Muhammad Asri

Pembangkang fokus itu Covid-19

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago tidak melihat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri akan memberi sebarang kebaikan kepada rakyat.

Pemimpin DAP itu sebaliknya berpandangan ahli-ahli Parlimen pembangkang perlu menggunakan sepenuh ruang sidang Parlimen bagi menyuarakan aspirasi rakyat serta menegur kepincangan kerajaan PN dalam menangani krisis Covid-19 ketika ini.

"Oleh kerana tidak ada satu pelan efisien dan efektif daripada kerajaan PN, maka krisis Covid-19 dilihat lebih teruk daripada enam bulan dahulu walaupun proklamasi darurat sudah dilaksanakan.

"Tetapi, senario ini tidak wajar dijadikan alasan kukuh ahli-ahli Parlimen untuk ghairah menukar kerajaan, sebaliknya satu perjanjian gencatan politik antara kerajaan dan pembangkang perlu dicapai bagi memastikan agenda mempertahankan nyawa rakyat diutamakan," katanya.

Dalam konteks mencapai perjanjian gencatan politik, Santiago menggesa kerajaan PN berjiwa besar untuk menerima tawaran perjanjian kepercayaan dan perbekalan (confidence and supply agreement) dikemukakan pembangkang sebelum ini.

Jelas beliau, selain perjanjian kepercayaan dan perbekalan itu, kerajaan juga perlu melantik pemimpin pembangkang dalam Jawatankuasa Pemilih Parlimen dan jawatankuasa kerajaan penting seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Unit Perancangan Ekonomi Malaysia.

"Hakikatnya, Pakatan Harapan (PH) pun tidak mempunyai sokongan majoriti dan berkemungkinan meraih undi 104 atau 105 ahli Parlimen sahaja sekiranya usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri dikemukakan.

"Justeru, kalau kerajaan PN boleh memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan secara telus dan ikhlas bersama pembangkang, maka polemik politik sewaktu persidangan Parlimen akan dapat dikurangkan. Rakyat pun akan lebih gembira," katanya.

Charles Santiago
Charles Santiago