'Status calon bukan isu'

Dr Streram ketika ditemubual dalam Sinar Live di pejabatnya, semalam. - Foto Sinar Harian/NORAFIDAH ASSAN
A
A

SEREMBAN - Calon tempatan bukanlah satu isu yang perlu dijadikan alasan untuk menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram sebagai calon PRK Rantau.

Streram ketika ditanya semasa temu bual menerusi Sinar Live semalam memberitahu, beliau kini juga dianggap anak tempatan, berikutan akar umbi mula menerimanya sejak berkhidmat tiga tahun lalu di Rantau.

"Calon anak tempatan tidak seharusnya dijadikan isu, sebaliknya semangat dan kerjasama dalam pasukan perlu diperkuatkan untuk mencapai matlamat utama iaitu menumbangkan BN.

"Kalau saya tidak diterima, mengapa saya dipilih oleh akar umbi sebagai Timbalan Ketua Cabang Rembau, ini bermakna saya mula diterima masyarakat setempat," katanya.

Jelas Dr Streram, walaupun beliau baru sahaja berkhidmat di Rantau tiga tahun lalu, tetapi hubungan rapatnya dengan penduduk di Negeri Sembilan telah lama terjalin.

Beliau yang bertugas sebagai doktor pakar bius di Pusat Perubatan Nilai sejak 15 tahun lalu, dan menetap di Nilai memaklumkan, dalam tempoh itu, ramai pesakitnya asal Negeri Sembilan, selain mempunyai ramai saudara serta sahabat tinggal di sekitar Sendayan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai calon wanita, Dr Streram memberitahu beliau tidak mempunyai masalah sekiranya pucuk pimpinan meletakkan calon wanita.

Katanya, lelaki atau wanita adalah perkara kedua, yang paling utama calon yang bertanding itu perlulah mempunyai kewibawaan sebagai calon yang boleh menang.

"Kita hormati mana-mana calon yang dipilih nanti, lelaki atau wanita, atau daripada bangsa lain sekali pun kita akan hormati keputusan pucuk pimpinan," katanya.