X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Calon SPM, STPM dijangka terima vaksin pada Julai

Khairy Jamaluddin (kanan) memaklumkan calon peperiksaan akan menerima dos pertama pada pertengahan bulan Julai pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pasukan Petugas Covid-19 Pahang di Wisma Sri Pahang, pada Jumaat.
A
A

KUANTAN - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 dijangka menerima dos pertama suntikan vaksin Pfizer-BioNTech bermula pertengahan bulan depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemberian suntikan vaksin itu akan dijalankan di sekolah masing-masing dan ia bergantung kes penularan semasa wabak Covid-19 dalam negara.

Menurutnya, bagaimanapun perkara itu bergantung kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum sekolah dibuka secara berperingkat.

"Cadangan ini kemukakan dikemukakan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan ia sedang dipertimbangkan.

"Tetapi, kita jangka mereka (pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam) bakal menerima dos pertama bulan Julai dan selesai (dos kedua) dalam bulan Ogos,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Pasukan Petugas Covid-19 Pahang di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan sedang berusaha untuk memastikan proses suntikan vaksin bagi penduduk di Pantai Timur diselesaikan hujung bulan Oktober ini.

Beliau juga menteri Penyelarasan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjelaskan, sasaran itu bagi memastikan tidak timbul masalah, sekiranya berlaku musim tengkujuh di negeri berkenaan.

“Kita cuba susun semula jadual pengagihan (bekalan vaksin) dengan mengambil kira musim tengkujuh bagi negeri-negeri yang terkesan dengan musim tengkujuh. Namun kita berharap ia dapat selesaikan seperti yang dijadualkan.

“Kalau kita tidak berjaya (menyelesaikan vaksinasi sebelum musim tengkujuh) kita kena tengoklah apakah strategi untuk kita memberikan vaksin pada musim tengkujuh,” ujarnya.

Mengulas mengenai isu bekalan vaksin yang didakwa agak perlahan diagihkan kepada kerajaan negeri, Khairy Jamaluddin berkata, penghantaran vaksin belum mencapai tahap maksimum dan perkara itu sudah dimaklumkan pada Februari lalu.

Katanya, jadual penghantaran vaksin yang disediakan mengikut ketetapan pengeluar vaksin.

"Dari awal lagi kita sudah maklumkan, pada peringkat awal, memang perlahan (penghantaran vaksin). Tetapi selepas bulan Jun, Julai akan meningkat dan mungkin rakyat ingat 30 juta dos yang kita tempah itu dihantar serentak pada bulan Februari.

"Itu tidak berlaku kerana bekalan itu akan dihantar pada setiap minggu,” katanya.

Khairy turut menyatakan keyakinan bahawa kerajaan Pahang mampu meningkatkan kadar suntikan harian purata 5,000 suntikan sehari kepada 30,000 suntikan, sebaik bekalan vaksin diterima kerajaan Persekutuan.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri bakal menerima 440,000 dos vaksin Covid-19 bulan depan, berbanding hanya 180,000 dos bulan ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!