Agong, PM perlu runding tarikh buka Parlimen

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polemik penentuan tarikh sesuai dilaksanakan persidangan Parlimen mampu diselesaikan melalui kaedah perundingan di antara dua institusi penting iaitu Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

Cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, agenda perundingan itu perlu disegerakan bagi mengurangkan keresahan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang sentiasa mendesak agar persidangan Parlimen kembali dibuka secepat mungkin.

Jelas beliau, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu jelas menunjukkan Seri Paduka Baginda mempunyai persetujuan sama dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap keperluan sidang Parlimen kembali bersidang.

"Dalam konteks keperluan mengadakan sidang Parlimen, Muhyiddin terbukti menyokongnya melalui pembentangan Pelan Pemulihan Negara di mana beliau jelas menyatakan Parlimen akan bersidang sekitar bulan September dan Oktober.

"Bagaimanapun, pada saat krisis pandemik Covid-19 masih serius, terdapat keperluan Perdana Menteri memberi keutamaan kepada tiga indikator penting iaitu langkah pengurangan kadar jangkitan, kapasiti fasiliti kesihatan tidak lagi pada tahap maksimum serta proses vaksinasi rakyat dipercepatkan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan pemimpin pembangkang dan UMNO yang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berdolak-dalik dalam memberi respons terhadap pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar sidang Parlimen wajar diadakan segera.

Dr Chandra Muzaffar
Dr Chandra Muzaffar

Pendirian Seri Paduka Baginda itu disokong Majlis Raja-Raja Melayu yang turut menitahkan pandangan tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Chandra berkata, sekiranya persidangan Parlimen diadakan secara tergesa-gesa pada saat genting ketika ini, beliau bimbang malapetaka lebih besar akan berlaku termasuk kemungkinan pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) yang cuba dielakkan semua pihak.

Tambah beliau, sekiranya usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri dikemukakan dan diluluskan Dewan Rakyat, Perdana Menteri perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan membubarkan Parlimen, seterusnya wajib melaksanakan pilihan raya.

"Eloklah kedua-dua institusi penting iaitu Eksekutif dan Legislatif berbincang dan mengutamakan pertimbangan soal keselamatan dan kesihatan rakyat sebelum memutuskan tarikh sidang Parlimen akan kembali dibuka.

"Kerajaan juga sudah mengemukakan satu pelan komprehensif sebagai solusi 'exit strategy' bagi menangani krisis pandemik, termasuk cadangan pelaksanaan semula sidang Parlimen...Jadi semua pihak kena beri ruang kepada kerajaan," katanya.

Chandra juga tidak yakin sidang Parlimen yang bakal dibuka semula akan dimanfaatkan sepenuhnya 220 ahli Parlimen untuk membahaskan permasalahan rakyat serta krisis Covid-19 semata-mata.

No Image Caption

Sebaliknya, beliau yakin episod perebutan kuasa dan usul penentuan undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri akan terus dikemukakan oleh segelintir pemimpin politik yang gila kuasa.

"Ada beberapa individu yang mungkin kerana mereka tamak kuasa, begitu ghairah untuk rebut kuasa, termasuk pemimpin yang berdepan kes pertuduhan mahkamah.

"Dalam konteks ini, Speaker Parlimen perlu memainkan peranan penting agar sidang Parlimen yang kembali dibuka, bakal dimanfaatkan sepenuhnya bagi membahaskan usul-usul permasalahan rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh Suruhanjaya Kedaulatan Negara: Pak Wan

ARTIKEL BERKAITAN: Buka segera atau tunggu September?

ARTIKEL BERKAITAN: PM boleh ubah tarikh persidangan