UniKL labuh tirai MHL 2019 tanpa kalah

Pemain Hoki TNB Thunderbolts Muhammad Shafiq Hassan (kiri) beraksi menentang pemain Universiti Kuala Lumpur Faridzul Afiq Mohd (kanan) pada Perlawanan Liga Hoki Malaysia 2019 Universiti Kuala Lumpur lawan TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Tengku Abdullah hari ini. - Foto Bernama
Pemain Hoki TNB Thunderbolts Muhammad Shafiq Hassan (kiri) beraksi menentang pemain Universiti Kuala Lumpur Faridzul Afiq Mohd (kanan) pada Perlawanan Liga Hoki Malaysia 2019 Universiti Kuala Lumpur lawan TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Tengku Abdullah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JUARA Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) 2019, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menamatkan saingan musim ini dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan TNB Thunderbolts 2-0 di Stadium Tengku Abdullah, Bangi, dekat sini, hari ini.

Biarpun masih segar dengan kejayaan muncul juara buat kali pertama pada Rabu lalu, UniKL di bawah kendalian ketua jurulatih, Arul Selvaraj tetap menampilkan permainan bergaya apabila mendahului 1-0 seawal minit keenam hasil pukulan penalti Muhammad Razie Abd Rahim.

UniKL kemudian mengawal permainan dengan baik apabila berjaya mematahkan beberapa gerakkan TNB Thunderbolts sebelum Mohamad Ashran Hamsani bijak menyudahkan umpanan rakan sepasukan untuk meledak gol kedua UniKL pada minit ke-48.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan UniKL menutup kempen liga dengan mengumpul 34 mata selepas mengharungi 12 perlawanan liga dengan hanya meraih satu keputusan seri.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan di Stadium Tun Razak, di sini, menyaksikan naib juara liga, TNB tewas 3-5 kepada pasukan Terengganu Hockey Team (THT).

THT membuka jaringan menerusi gol padang Muhammad Sufi Ismat Rohulamin pada minit ke-19 sebelum dua gol padang masing-masing oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil pada minit ke-22 dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-29 meletakkan TNB mendahului 2-1.

Pasukan pelawat bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Gonzalo Merino pad aminit ke-32, namun enam minit kemudian TNB kembali mendahului hasil pukulan sudut penalti Norshafiq Sumantri.

THT yang merupakan juara Piala Sumbangsih 2019 enggan menyerah kalah apabila meledak tiga gol dalam tempoh lima minit menerusi pukulan penalti Faizal Saari pada minit ke-41 diikuti jaringan padang Jung Manjae(minit-43) dan pukulan sudut penalti Merino (minit ke-46) untuk membawa pulang tiga mata sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Artikel Berkaitan:

Di Stadium Hoki Universiti Teknologi Mara (UiTM), Maybank bangkit daripada ketinggalan untuk meraih keputusan seri 2-2 berdepan UiTM sekali gus mengesahkan kedudukan keempat dalam liga.

Dua gol Maybank dijaringkan Muhammad Sulaiman Abdul Razak pada minit ke-24 (pukulan sudut penalti) dan Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-48 (pukulan penalti) sementara gol UiTM disumbangkan menerusi jaringan padang Kamaruddin Kodir Beraheng pada minit ke-44 dan Danial Asyraf Abd Ghani, empat minit kemudian.

Dalam pada itu, LHM 2019 akan diteruskan dengan saingan Piala TNB di mana hanya empat pasukan teratas akan berentap seawal pusingan separuh akhir di mana UniKL akan bertemu Maybank sementara TNB akanmembuat perhitungan berdepan THT pada aksi pertama yang dijadualkan Selasa depan. - Bernama