Undi tak percaya kehendak Hadi, kata Anwar

Anwar mendakwa isu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri merupakan kehendak Hadi.
Anwar mendakwa isu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri merupakan kehendak Hadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa isu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri merupakan kehendak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Anwar, Abdul Hadi yang sepatutnya membawa usul undi tidak percaya itu ke Parlimen.

"Apa isunya? Kenapa bangkitkan apa yang Hadi mahu? Itu usul Hadi, biar dia bawa usul itu," katanya kepada media di Persidangan Antarabangsa Thirukkural 2019 di Universiti Malaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya berlaku undi tidak percaya di Parlimen.

Hari ini, Abdul Hadi mengulangi dakwaan bahawa dua parti komponen PH merancang untuk menyingkirkan Dr Mahathir melalui undi tidak percaya.

Beliau juga mendakwa mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Komplot guling PM: Kalau tiada angin, tidak bergoyang pokok!

Dalam pada itu, Anwar menyindir Pas dengan mengatakan berbohong adalah dibenarkan dalam parti itu.

Artikel Berkaitan:

"Dakwaan ini datang daripada Pas jadi kita tak pasti sama ada mereka cakap yang benar atau menipu. Menipu diizinkan (dalam Pas).

"Beberapa hari lalu saya berjumpa dengan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden Amanah) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) tetapi tiada siapa antara kami pernah dengar (dakwaan). Satu-satunya pihak yang dengar ialah Pas," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menganggap Pas membuat tuduhan tersebut bagi menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan parti PH.

"Ini memandangkan Pas tidak boleh menang, mereka telah kalah dengan teruk. Pas sokong dan mempertahankan korupsi atas nama Islam.

"Satu-satunya pilihan yang tinggal ialah menimbulkan perpecahan," katanya.