Majikan dikompaun, bas bawa pekerja lebih kapasiti

Bas pekerja yang membawa penumpang melebihi kapasiti ditahan di Jalan Tun H S Lee pada Rabu.
Bas pekerja yang membawa penumpang melebihi kapasiti ditahan di Jalan Tun H S Lee pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 terhadap majikan selepas menahan sebuah bas pekerja yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan di Jalan Tun H S Lee di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menahan sebuah bas pekerja yang membawa 34 buruh binaan warga Bangladesh pada jam 7.30 pagi.

"Berdasarkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan, semua pengangkutan awam hanya dibenarkan membawa 50 peratus jumlah penumpang daripada kapasiti maksimum kenderaan itu.

"Dalam kes ini, kapasiti bas berkenaan adalah 44 penumpang, kita mendapati tindakan majikan membenarkan 34 pekerja menaiki kenderaan berkenaan atau 77 peratus daripada jumlah kapasiti dibenarkan adalah satu kesalahan pelanggaran SOP PKP," katanya ketika ditemui di Balai Polis Tun H S Lee di sini pada Rabu.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada majikan serta kompaun RM2,000 kepada pemandu bas tempatan berusia 40-an atas kesalahan tersebut.

"Kita tidak menafikan ada lagi segelintir majikan yang degil dan enggan mematuhi SOP PKP ditetapkan pihak berkuasa.

"Mereka (majikan) tahu mengenai SOP ditetapkan, namun masih ingkar kerana mungkin beranggapan mereka boleh mengelak daripada tindakan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, pihak polis akan sentiasa melakukan pemeriksaan secara mengejut bagi memastikan semua pihak termasuk majikan mematuhi SOP ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Tahap kadar pematuhan di daerah Dang Wangi amat memuaskan. Boleh dikatakan 99 peratus kadar pematuhan di daerah ini.

"Kita hanya mengeluarkan 102 kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka, gagal mendaftar menggunakan MySejahtera serta jumlah penumpang melebihi kapasiti sejak 1 Jun lalu hingga hari ini.

"Kerjasama orang ramai mematuhi SOP adalah penting bagi membolehkan kita melandaikan lekuk penularan Covid-19 dalam komuniti,” katanya.