Tabik TMJ!

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat sebagai individu yang mempunyai kemampuan dalam meningkatkan kembali prestasi Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Rata-rata peminat dan penyokong bola sepak Malaysia meluahkan keterujaan mereka di laman sosial selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menawarkan diri membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menguruskan skuad kebangsaan.

Malah, mereka berpendapat sudah sampai masanya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyerahkan tugas dalam soal pengurusan Harimau Malaya kepada Tunku Ismail.

Bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, beliau turut senada dengan penyokong Harimau Malaya sambil menganggap Tunku Ismail sebagai individu yang berani menggalas tanggungjawab.

“Ini satu keputusan yang berani... itu yang saya boleh cakap. Tunku Ismail mungkin nak tukar cara pengurusan pasukan kebangsaan dan sudah tentu Tunku Ismail mempunyai wawasan tersendiri dalam menaikkan semula imej bola sepak Malaysia.

“Tunku Ismail bukan lagi Presiden FAM, tetapi kita boleh anggap Tunku Ismail pemimpin nombor satu sukan di negara ini. Sebab itu, saya katakan, Tunku Ismail seorang yang berani dan bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, peminat bola sepak perlu memahami misi dan visi Tunku Ismail dalam meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan dan bukannya terus mengkritik atau menghentam sebelum perkara itu berlaku.

“Dalam keadaan sekarang, saya nampak Tunku Ismail cuba untuk membantu menguruskan pasukan kebangsaan. Jadi mungkin FAM boleh memikirkan tawaran yang dikemukakan Tunku Ismail,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Tunku Ismail menerusi kenyataan ringkas dalam ruangan Insta Story di laman akaun Instagram miliknya telah menawarkan diri untuk membantu FAM dalam meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

ARTIKEL BERKAITAN: TMJ tawar diri perkasa Harimau Malaya

“Tunku Ismail juga ada berkata, bukan hanya tempat latihan, banyak lagi perkara seperti persiapan pemain termasuk dari segi psikologi. Bagi Tunku Ismail, apabila masuk ke kem (pusat latihan), semua perlu diuruskan dengan betul.

“Itu yang membuatkan Tunku Ismail berani dan sanggup mengambil cabaran yang memang sukar ketika ini. Sepatutnya kita menyokong pendirian Tunku Ismail itu dan beri peluang dan ruang kepadanya memperbetulkan semula keadaan,” jelas Sathianathan.

Pada masa sama, Sathianathan turut bersetuju dengan pandangan Tunku Ismail agar FAM tidak memberikan status naturalisasi sewenang-wenangnya kepada mana-mana pemain asing pada masa akan datang.

“Memang betul, kalau seseorang pemain naturalisasi itu nak dipilih, kita mesti tahu sama ada pemain itu boleh ‘diguna pakai’ untuk skuad kebangsaan atau tidak? Maksudnya, pemilihan pemain naturalisasi harus dibuat lebih ketat.

“Bukan maksudnya FAM tak buat, tetapi mungkin tidak terperinci. Mungkin selepas ini FAM akan kembali memperhalusi syarat sebelum mengambil pemain naturalisasi melihatkan apa yang terjadi sekarang,” ujarnya.