PKPD Cameron Highlands: Bekalan sayur mungkin terjejas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tidak menolak kemungkinan berlaku gangguan bekalan sayur untuk pasaran dan rangkaian pasar tertentu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil langkah perlu untuk memastikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Cameron Highlands hanya memberi impak minimum.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua bahagian di kementerian itu telah diarahkan untuk mengambil langkah perlu bagi memastikan bekalan sayur-sayuran dari Cameron Highlands tidak terjejas serta harga sayur-sayuran tidak melonjak.

"KPDNHEP melalui penguat kuasa di seluruh negara khususnya di Pahang dan Perak akan memantau secara berterusan kedudukan bekalan dan harga bagi jenis-jenis sayur tertentu yang biasanya dibekalkan oleh pekebun-pekebun dari Cameron Highlands," katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung isu bekalan sayur-sayuran ekoran pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands.

Media melaporkan situasi peningkatan harga sayur-sayuran di pasaran sehingga 40 peratus ekoran pelaksanaan PKPD di kawasan pertanian seluas 607 hektar di Cameron Highlands berkuat kuasa 14 hingga 27 Jun ini.

Menurut Nanta, Bahagian Harga Barang Negara (BHBN), KPDNHEP telah menjalankan analisis dan mendapati berdasarkan data harga pada 13 Jun 2021, perubahan harga purata harian sayuran yang dilaporkan dalam akhbar seperti tomato, timun, kubis, kacang buncis menunjukkan penurunan berbanding hari sebelumnya (12 Jun).

Penurunan tomato dicatatkan ialah -2.16 peratus, lada benggala (capsicum) kuning (-0.13 peratus) lada benggala merah (-1.47 peratus), kubis bulat tempatan (-0.86 peratus) dan kacang buncis (-0.67 peratus) bagaimanapun, terdapat peningkatan sedikit bagi timun iaitu 1.01 peratus dan lada benggala hijau 0.36 peratus.

Nanta berkata, KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak ke paras yang tidak munasabah.

Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan jika terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengaut keuntungan atau mencatut, katanya.

Artikel Berkaitan:

Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi suatu perbadanan atau syarikat.

Bagi bukan perbadanan atau individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pengguna dinasihatkan tidak panik dan membeli barangan mengikut keperluan sahaja," katanya. - Bernama