Nasi lambai tidak tutup

Restoran Sultana Nasi Kandar beroperai seperti biasa. - Gambar kecil: Abdul Malik
Restoran Sultana Nasi Kandar beroperai seperti biasa. - Gambar kecil: Abdul Malik
A
A
A

TELUK INTAN - Pemilik restoran Sultana Nasi Kandar menafikan premis perniagaannya diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan sebaliknya hanya ditutup sehari bagi memberi ruang kepada diri dan pekerjanya.

Restoran yang terkenal dengan nama kedai nasi lambai ini diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Daerah Hilir Perak dan polis selepas menerima aduan pelanggan yang mengalami gejala lemah dan khayal selepas makan di situ, Selasa lalu.

Pemiliknya Abdul Malik Pakeer Mohamad, 36, berkata, pihaknya kecewa apabila ada individu tidak bertanggungjawab menularkan kejadian itu tanpa maklumat sebenar yang secara tidak langsung menjejaskan perniagaannya.

"Kedai makan saya ini sudah beroperasi sejak 1952 dan sepanjang tempoh itu kami tidak pernah menerima insiden seperti ini hingga pihak kesihatan dan polis datang menyerbu kedai dan mengambil sample makanan untuk diperiksa.

"Saya terkejut ketika itu dan mereka beritahu kedai saya sudah tular cakap saya letak benda tak elok dalam makanan sampai ada khayal, jadi apa saya buat tutup kedai sehari untuk beri ruang pada saya dan pekerja," katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Malik, dia juga tidak menerima sebarang notis daripada mana-mana pihak agar perniagaannya itu ditutup selepas insiden berkenaan dan kedainya itu mula beroperasi sejak semalam.

"Saya tidak menerima sebarang notis penutupan kedai dan kami boleh beroperasi seperti biasa cuma saya bercuti sehari iaitu hari Rabu selepas pemeriksaan itu kerana mahu menenangkan diri dan pekerja selain berbincang mengenai perkara itu.

"Kami perlukan masa untuk menjawab segala pertanyaan orang apa benar atau tidak kejadian tersebut malah semasa kedai diserbu, ada pelanggan cakap mereka sudah tahu kedai saya tular," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Malik berkata, tiga pekerjanya termasuk seorang warga Bangladesh dibawa ke balai polis pada Selasa, lalu untuk menjalankan ujian saringan awal air kencing dan hasilnya semua tiga lelaki itu sangkut, namun mereka dibebaskan dengan jaminan.

"Sudah lama kami berniaga dan saya adalah generasi ketiga menguruskan kedai yang diasaskan datuk ini dan kami tidak pernah menggunakan sebarang bahan terlarang dalam masakan, malah saya sendiri tidak pernah terfikir berbuat demikian.

"Kami memang menggunakan kas-kas dalam masakan namun dalam kuantiti sedikit dan kas-kas ini juga banyak digunakan dalam masakan India kerana ia dapat menyedapkan serta memekatkan kuah makanan terutamanya masakan kambing dan sotong," katanya.

Abdul Malik berkata, pengunaan kas-kas dalam masakan tidak diharamkan di negara ini dan ia juga digunakan secara meluas dan penjualannya juga secara terbuka.

"Sebelum ini tidak pernah berlaku seperti ini dan kami hanya menggunakan kas-kas dalam kuantiti yang sedikit sahaja kerana jika terlebih guna, masakan kurang sedap, berbuih dan cepat membeku," katanya.

Abdul Malik juga turut melahirkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku kerana perniagaannya terjejas teruk sehingga tular di Singapura sedangkan pelanggannya juga ada yang datang dari negara berkenaan.

"Saya kecewa dan kejadian ini memberi kesan kepada nama perniagaan kami dan pelanggan juga agak kurang namun bagi saya, apa yang lebih penting adalah untuk memperbetulkan perkara ini dan pastinya berharap perniagaan kembali seperti asal," katanya.