Masih belum sesuai kerajaan longgar SOP

Kerajaan akan menilai semula PKP 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu sekiranya jangkitan harian Covid-19 direkodkan pada angka 4,000 kes.
Gambar kecil: Dr Haliza
Kerajaan akan menilai semula PKP 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu sekiranya jangkitan harian Covid-19 direkodkan pada angka 4,000 kes. Gambar kecil: Dr Haliza
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan berpendapat kerajaan tidak perlu melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) walaupun kes harian Covid-19 merekodkan angka 4,000 ke bawah.

Pakar Kesihatan Persekitaran Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, jika kes harian Covid-19 tidak menunjukkan penurunan secara berterusan, amat tidak wajar untuk melonggarkan SOP yang ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan perlu melihat trend penurunan tersebut dalam jangka panjang atau sekurang-kurangnya dua minggu.

“Jika tidak itu bukan gambaran boleh terus melonggarkan SOP walaupun menurun kepada 4,000. Kita perlu tengok jangka masa panjang. Paling kurang dua minggu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan akan menilai semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu sekiranya jangkitan harian Covid-19 direkodkan pada angka 4,000 kes di negara ini.

Beliau berkata, penilaian semula itu bukan bermaksud menamatkan PKP 3.0 sebaliknya lebih kepada kelonggaran SOP.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP 3.0 dinilai semula jika kes harian turun 4,000

Mengulas lanjut Haliza berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira jumlah penerimaan suntikan vaksin ketika ini sama ada ia sudah mencapai imuniti kelompok atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kerajaan boleh melonggarkan SOP jika ia sudah mencapai separuh daripada jumlah keseluruhan imuniti kelompok di negara ini.

“Kerajaan menyasarkan 80 peratus dan setakat ini kita ada 26 juta penerima yang layak. Jadi, separuh daripada jumlah ini sudah diberi suntikan Covid-19,” katanya.

Tambah Haliza, agak sukar untuk menunjukkan pola penurunan berterusan ketika ini kerana banyak kes melibatkan kluster tempat kerja.

Menurut beliau, lebih daripada 60 kes direkodkan, ditambah pula dengan kluster perayaan.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kerajaan wajar membuat keputusan untuk melonggarkan SOP tersebut pada Ogos kerana sukar menyatakan Jun dan Julai dapat menunjukkan penurunan kes.