X

Kindly register in order to view this article
!

Empat anggota Abu Sayyaf terbunuh

Insiden berbalas tembakan itu berlaku ketika pasukan keselamatan Filipina mahu memberkas pemimpin Abu Sayyaf yang didakwa paling kejam. - Foto: AFP
A
A

MANILA - Sekurang-kurangnya empat anggota Abu Sayyaf maut dalam insiden pertempuran dengan tentera Filipina di wilayah selatan negara itu pada Ahad.

Insiden itu berlaku ketika pasukan tentera diiringi polis mahu memberkas pemimpin kumpulan pemisah itu yang didakwa paling kejam dikenali sebagai Injam Yadah di rumahnya di perkampungan Alat di bandar Jolo, wilayah Sulu.

"Dia bersama anggotanya melancarkan serangan ke arah pasukan keselamatan hingga mencetuskan insiden berbalas tembakan," kata jurucakap tentera, Leftenan Jeneral, Corleto Vinluan Jr.

Difahamkan, Yadah didakwa terlibat dengan insiden penculikan untuk wang tebusan membabitkan rakyat tempatan dan warga asing termasuk lapan nelayan Indonesia yang diculik di luar perairan Malaysia pada awal 2020.

"Dia mempunyai reputasi sangat ganas dan memenggal kepala orang awam tidak berdosa serta anggota keselamatan tanpa perikemanusiaan," ujar seorang lagi komander tentera, Mejar Jeneral, William Gonzales.

Yadah juga dikaitkan dengan kejadian penculikan empat individu termasuk dua pelancong warga Kanada pada 2015 yang dipenggal secara berasingan setelah wang tebusan yang diminta gagal ditunaikan.

Seorang lagi anggota Abu Sayyaf yang terbunuh dalam pertempuran itu adalah Al Sawadjaan yang dipercayai sebagai pembuat bom dan berpotensi menjadi pengebom bunuh diri.

Ketika serbuan itu, tentera turut merampas pelbagai senjata api dan 15 telefon bimbit selain menahan isteri Yadah bersama tiga anaknya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 18 anggota Abu Sayyaf terbunuh dan 17 lagi berjaya ditahan, manakala 86 yang lain menyerah diri di Sulu. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!