Lagi PKPD di beberapa lokaliti di Sabah, Sarawak

PKPD akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sabah dan Sarawak bermula 15 Jun sehingga 28 Jun.
PKPD akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sabah dan Sarawak bermula 15 Jun sehingga 28 Jun.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak enam lagi kawasan di Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa pada 15 hingga 28 Jun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara lokaliti tersebut adalah Kampung Tabuan Hj Drahman, Kuching, Sarawak manakala di Sabah membabitkan Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri), Tawau dan Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu.

“Turut dikenakan PKPD ialah Taman Telipok Jaya dan Kampung Penimbawan, Daerah Tuaran serta Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud, Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, hasil daripada saringan, sebanyak 54 kes positif Covid-19 telah dilaporkan di Kampung Tabuan Hj Drahman, 10 kes di Batu 3.5 Jalan Apas (Kiri) manakala 10 kes turut dilaporkan di Taman Puri Warisan.

Tambahnya, 10 kes turut direkodkan di Taman Telipok Jaya selain Kampung Penimbawan (13) dan lapan kes di Kampung Lebak Moyoh.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menjalankan tindakan kawalan Covid-19 dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan keluar dari kawasan tersebut,” ujarnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Taman Pelangi, Semporna dan Kampung Tanjung Kapor, Kudat, Sabah yang dijadualkan tamat pada 14 Jun dilanjutkan sehingga 28 Jun kerana didapati masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk selain kes baharu turut direkodkan.

“Di Taman Pelangi, Kementerian Kesihatan telah melakukan 71 ujian saringan dan lapan (8) daripadanya disahkan positif manakala di Kampung Tanjung Kapor merekodkan 86 kes positif daripada 832 ujian saringan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PKPD di dua lokaliti di Sabah iaitu Jalan Klias 2 & 3, Beaufort dan Kampung Kuala Menggatal, Kota Kinabalu ditamatkan pada 14 Jun.

Tambah beliau, lima lagi lokaliti lain di Sabah dan Kedah tamat tempoh PKPD mengikut jadual pada 14 Jun ialah Kampung Assam, Lahad Datu; Kampung Payas-Payas dan Kampung Rampayan Laut, Kota Belud, Sabah serta Bandar Darulaman; Lubuk Kawah, Jitra di Kedah.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, jumlah individu yang ditahan atas pelanggaran SOP masih tinggi iaitu melebihi 800 orang sehari.

“Justeru, saya berharap agar kita semua patuhi SOP yang ditetapkan kerana tanggungjawab mengekang penularan Covid-19 memerlukan kerjasama segenap lapisan rakyat,” ujarnya.