X

Kindly register in order to view this article
!

Negara tidak perlu Mageran, kata penganalisis politik

Dari kiri: Kamarul Zaman, Khairil Azmin dan Syed Agil Alsagoff
A
A

SHAH ALAM - Tidak perlu penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) ketika ini sebaliknya ada pilihan lain masih terbuka dalam membentuk kerajaan memerintah ketika darurat disebabkan pandemik Covid-19.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai pilihan yang luas.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda juga tidak terikat dengan peruntukan perlembagaan yang dalam keadaan biasa hanya boleh melantik ahli Parlimen daripada kalangan ahli Dewan Rakyat dan senator.

"Malah, (Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sesiapa sahaja) sebagai pengerusi atau ketua Mageran, dengan menggunakan kuasa darurat (Yang di-Pertuan Agong) boleh melantik orang yang tidak semestinya mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Oleh itu, bukan sahaja ahli Parlimen yang boleh menjadi pilihan Yang di-Pertuan Agong, malah teknokrat, ahli korporat dan negarawan yang mempunyai pengalaman mentadbir negara dan mahir dalam profesion mereka boleh dilantik untuk menjadi ahli mahu pun pengerusi Mageran atau kerajaan darurat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, pendapat sama turut dikongsi Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff dengan berkata, Mageran tidak memberi kesan terbaik kepada negara ketika ini.

Beliau sebaliknya berpandangan, Mageran akan mencetuskan polemik terutamanya melibatkan persepsi politik dan ekonomi negara di mata luar bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.

Menurutnya, Mageran selepas 13 Mei 1969 yang lalu diwujudkan untuk merangka polisi dan memperbaiki sosiopolitik dan ekonomi negara susulan negara ketika itu dilanda musibah persengketaan kaum.

"Keadaan ini berbeza pada masa sekarang yang mana pendekatan strategik dan berfokus harus dibangunkan dengan melibatkan semua pihak bagi menangani pendemik Covid-19," katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, adalah tidak wajar mewujudkan Mageran yang mana isu kesihatan global kini ditadbir berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bukan melibatkan negara kita semata-mata.

"Apa yang penting ialah kesediaan kerajaan mengumpulkan pandangan daripada semua pihak, mencari jalan penyelesaian yang berkesan bagi melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff turut berpandangan penubuhan Mageran sekarang sememangnya tidak perlu.

Menurutnya, selain perbezaan ketara suasana sekarang dengan suasana selepas Peristiwa 13 Mei 1969, perlu diingati bahawa, walaupun berada di bawah Mageran pada waktu itu, Seksyen 2(2) Ordinan No. 2 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat, 1969 tetap memperuntukkan bahawa Pengarah Mageran hendaklah bertindak dengan mengikut nasihat Perdana Menteri.

"Oleh itu, penubuhan Mageran sekarang sememangnya tidak perlu kerana selain sudah mempunyai beberapa mekanisme khusus, dengan kuasa masih di tangan Perdana Menteri, ia hanya akan menggendalakan perancangan sedia ada.

"Malah banyak masa akan terbuang sedangkan yang diperlukan sekarang adalah kecepatan dalam bertindak," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!