Farmasi komuniti perlu mohon surat kebenaran operasi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Farmasi komuniti perlu memohon surat kebenaran untuk beroperasi ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh melalui Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut KPDNHEP, terdapat 3,274 premis farmasi komuniti yang berlesen di bawah Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga April 2021.

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 2,412 atau 74 peratus daripada 2,902 permohonan kebenaran beroperasi daripada ahli farmasi komuniti melalui CIMS 3.0 diluluskan sehingga semalam.

“Mana-mana farmasi komuniti yang belum mengemukakan permohonan kebenaran beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh dikehendaki segera berbuat demikian melalui laman sesawang https://notification.miti.gov.my,” menurut kenyataan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Mei lepas mengumumkan senarai 10 perkhidmatan perlu termasuk farmasi komuniti yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh mulai 1 Jun hingga 14 Jun. - Bernama

Artikel Berkaitan: