SPM 2020: Jurang GPN calon bandar, luar bandar mengecil

Situasi Covid-19 yang melanda negara tidak menghalang calon SPM 2020 untuk meraih keputusan cemerlang.
Situasi Covid-19 yang melanda negara tidak menghalang calon SPM 2020 untuk meraih keputusan cemerlang.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Tahniah diucapkan kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang menerima keputusan masing-masing semalam.

Walaupun belajar dalam situasi getir ketika negara berdepan penularan Covid-19, namun mereka berjaya mendapatkan keputusan yang membanggakan.

Ia disifatkan sebagai keputusan SPM terbaik dalam tempoh lima tahun!

Menteri Kanan, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, keputusan SPM 2020 berjaya mencatat peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 0.6 mata kepada 4.80 berbanding 4.86 tahun lepas.

Di samping itu, keputusan peperiksaan tersebut juga menyaksikan pertambahan calon yang mendapat semua A iaitu seramai 535.

SPM 2020 yang bermula dari 22 Februari hingga Mac serta 6 hingga 23 April lepas berlangsung di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara.

Untuk rekod, nilai GPN yang kecil menunjukkan prestasi lebih baik.

Berdasarkan keputusan semalam, calon luar bandar berjaya mencatatkan peningkatan GPN sebanyak 0.04 mata.

Artikel Berkaitan:

Pretasi tersebut dilihat lebih baik berbanding calon bandar yang mencatatkan peningkatan GPN sebanyak 0.02 mata.

Bagaimanapun, peningkatan pencapaian calon dari kedua-dua lokasi berjaya mengecilkan jurang masing-masing kepada 0.38 mata berbanding 0.44 mata bagi SPM 2019.

Di samping itu, calon layak sijil SPM juga menunjukkan peningkatan sebanyak 1.96 peratus dari 86.72 bagi SPM 2019 kepada 88.68 peratus untuk SPM 2020.

Sementara itu, sebanyak 68.22 peratus Calon Berkeperluan Khas (CBK) layak sijil SPM bagi SPM 2020.

Jumlah tersebut dicatatkan meningkat sebanyak 6.88 peratus berbanding SPM 2019 yang mencatatkan CBK layak sijil SPM sebanyak 61.34 peratus.

CBK ialah orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah fizikal, pertuturan, penglihatan, pendengaran dan pembelajaran.

Seramai 1,435 CBK yang memerlukah perkhidmatan, peralatan serta pengisian khas telah menduduki peperiksaan SPM 2020 di seluruh negara.