Cuba samun, serang mangsa dengan parang

Sekumpulan lelaki bermotosikal yang dipercayai cuba melakukan samun dengan menyerang mangsa di rumahnya.
A
A

SERDANG - Seorang lelaki dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai cuba menyamun dengan bertindak menyerangnya di rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.05 petang, mangsa berusia 30 tahun yang hendak keluar rumah melihat empat buah motosikal yang dinaiki tujuh lelaki berlegar di sekitar kawasan tersebut.

Menurutnya, tiba-tiba dua suspek terus berlari ke arah mangsa ke kawasan parkir rumah dengan bersenjatakan sebilah parang.

"Bimbang keselamatan dirinya, mangsa terus masuk ke dalam rumah dan telah bertindak menutup serta mengunci pintu.

"Namun, kedua dua suspek bertindak mengetuk pintu dengan menggunakan parang sebelum memecahkan cermin pada bahagian tepi rumah serta membocorkan tayar kereta jenis Suzuki Swift milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri setelah mangsa dan keluarganya menjerit meminta pertolongan.

Katanya, polis telah membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa bagi mengenal pasti suspek.

"Tindakan mengesan suspek kini giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial Facebook beberapa video yang dirakam CCTV menunjukkan perlakuan sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai cuba melakukan samun.

Dalam video itu juga, kumpulan itu disyaki terbabit dalam kejadian di beberapa daerah lain.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia