SPM 2020 lebih cemerlang cetus tanda tanya

Pencapaian calon SPM bagi tahun 2020 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan GPN 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019. Gambar kecil: Anuar Ahmad
Pencapaian calon SPM bagi tahun 2020 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan GPN 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019. Gambar kecil: Anuar Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 menimbulkan beberapa persoalan apabila diumumkan lebih cemerlang meskipun guru dan pelajar berdepan kesukaran sepanjang tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, tiga persoalan utama menjadi tanda tanya masyarakat kerana SPM 2020 merekodkan pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) yang bertambah baik iaitu 4.80 berbanding 4.86 pada 2019.

“Ini bermaksud berlaku penambahan gred sebanyak 0.06 mata dan menunjukkan pencapaian terbaik semenjak lima tahun lalu.

“Kita tahu sesi persekolahan telah ditutup selama 110 hari sepanjang 2020, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) 1.0 juga dalam keadaan yang tidak begitu teratur.

“Ramai guru dan ibu bapa juga mengeluh kerana sesi pembelajaran anak-anak mereka sangat terganggu, tetapi keputusan SPM 2020 telah menunjukkan sebaliknya,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujar Anuar, GPN SPM 2020 bagi pelajar luar bandar juga mencatatkan peningkatan prestasi yang lebih tinggi berbanding pelajar di bandar.

Menurutnya, ia berikutan data menunjukkan pencapaian pelajar luar bandar meningkat sebanyak 0.08 berbanding pelajar di bandar yang meningkat sebanyak 0.02 sahaja.

“Walaupun pelajar luar bandar tiada kemudahan akses internet dan pemilikan peranti pembelajaran untuk PdPR yang meluas, namun mereka telah menunjukkan peningkatan prestasi yang luar biasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, empat mata pelajaran teras iaitu mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam dan Sejarah juga didapati lebih baik berbanding SPM 2019.

“Apakah rahsia sistem pendidikan Malaysia? Apakah ini mengesahkan PdPR 1.0 dan 2.0 telah berjaya? Tentu ramai pakar dan pemimpin pendidikan negara lain ingin ketahui cara Malaysia laksanakan PdPR.

“Tiga persoalan ini tentunya akan dianalisis sebaiknya oleh pasukan pemikir KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia). Tentu masyarakat ingin tahu apakah rahsia kejayaan KPM,” jelasnya.