Waspada penipuan pakej haji dan umrah

PDRM mengesan wujudnya iklan-iklan berkenaan pakej haji, umrah dan badal haji bagi tahun ini yang ditawarkan oleh beberapa agensi pelancongan. - Gambar hiasan
PDRM mengesan wujudnya iklan-iklan berkenaan pakej haji, umrah dan badal haji bagi tahun ini yang ditawarkan oleh beberapa agensi pelancongan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan wujudnya iklan-iklan berkenaan pakej haji, umrah dan badal haji bagi tahun ini yang ditawarkan oleh beberapa agensi pelancongan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, berdasarkan kepada senario penularan virus Covid-19 yang masih berleluasa dan sekatan perjalanan yang sedang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan, penawaran pakej-pakej itu adalah amat meragukan.

"Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 3 Jun dan siaran akhbar Tabung Haji pada 4 Jun, sehingga kini status perlaksanaan ibadah haji bagi tahun ini masih belum dapat dipastikan.

"Pihak kerajaan masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Arab Saudi berkenaan kebenaran ibadah haji serta kuota yang dibenarkan bagi musim 2021," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mohd Kamarudin berkata, siaran media Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi Cawangan Madinah (Persada) pada 6 Jun, mereka telah menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan perkhidmatan badal haji boleh dilaksanakan oleh pelajar Malaysia di Arab Saudi tanpa permit atau lesen haji.

"Menurut mereka, perlaksanaan ibadah haji adalah berdasarkan kuota dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi," katanya.

Menurutnya, harga bagi perkhidmatan badal haji sekitar RM1,500 sehingga RM2,000 adalah sama sekali tidak munasabah mengambil kira kos permit, penginapan, pengangkutan, makanan dan lain-lain perkara yang perlu dijelaskan bagi melaksanakan ibadah tersebut.

"Secara keseluruhan, kita melihat tindakan segelintir agensi pelancongan mengiklankan pakej haji, umrah mahupun badal haji bagi tahun ini adalah satu tindakan pramatang serta mungkin merupakan satu penipuan.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kita ingin menegaskan bahawa siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh dijalankan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan penipuan pakej haji, umrah dan badal haji.

"Sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat," katanya.

Mohd Kamarudin turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan membuat semakan yang sewajarnya dengan agensi kerajaan yang berkaitan sebelum mengambil keputusan untuk membuat bayaran dan menyertai mana-mana pakej-pakej yang ditawarkan.

"Orang ramai yang berminat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tahun ini juga diingatkan untuk sentiasa peka dengan perkembangan dan arahan-arahan terkini yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan berkaitan sekatan perjalanan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.