Rakyat yakin kebijaksanaan Agong selesai masalah

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan percaya majoriti rakyat Malaysia tidak sabar mahu mengetahui apa kesudahan cerita selepas ketua-ketua parti politik mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden parti Bersatu adalah pemimpin pertama masuk menghadap pada Rabu. Ia diikuti tiga pemimpin lain iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Pemimpin-pemimpin parti lain dijangka menghadap dalam beberapa hari ini. Dalam hal ini, Merak Jalanan mahu merakamkan sembah takzim atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mengadakan pertemuan itu bagi membincangkan isu pentadbiran negara.

Ini bukan kali pertama Seri Paduka mengadakan pertemuan sedemikian rupa. Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong juga telah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen ketika negara menghadapi kemelut politik berhubung pelantikan Perdana Menteri baharu tahun lalu. Atas kebijaksanaan Seri Paduka, akhirnya perkara itu dapat diselesaikan.

Tindakan Seri Paduka itu sewajarnya dipuji. Ini memperlihatkan kebijaksanaan Seri Paduka yang amat mementingkan musyawarah dalam menyelesaikan masalah negara.

Merak Jalanan perhatikan rakyat Malaysia menyokong penuh langkah Yang di-Pertuan Agong itu.

Merak Jalan harap ia juga mendapat sokongan padu daripada pimpinan politik tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.

Cuma apa yang tak sedap Merak Jalanan dengar apabila ada pihak tertentu yang masih cuba bermain politik pada saat negara masih dilanda krisis pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ini bukan masanya untuk mengambil peluang untuk kepentingan peribadi semata-mata. Merak Jalanan harap tak ada pihak sengaja mahu menangguk di air keruh dalam tempoh pandemik ini.