Bencana kemanusian mungkin berlaku di negeri Kayah, Myanmar

Penduduk berlindung di kawasan hutan di Demoso, negeri Kayah. - Foto AFP
Penduduk berlindung di kawasan hutan di Demoso, negeri Kayah. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Negeri Kayah di Myanmar kemungkinan menyaksikan bencana kemanusiaan kerana dianggarkan 100,000 penduduk yang terpaksa melarikan diri ke hutan berikutan serangan kejam oleh junta, kini terdedah kepada bahaya penyakit dan kebuluran.

Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hak Asasi Manusia di Myanmar, Tom Andrews memberi amaran jika tindakan segera tidak diambil bilangan kematian lebih besar sejak rampasan kuasa 1 Februari lalu yang menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi boleh berlaku.

Terdapat laporan mengenai kekurangan air minum yang selamat, wabak cirit-birit yang teruk dan kekurangan tempat tinggal serta penduduk yang sangat memerlukan makanan, air serta ubat-ubatan.

"Dilaporkan juga pihak junta telah menghalang bantuan sampai kepada mereka dengan membuat sekatan tentera. Saya juga menerima laporan pasukan junta turut meletakkan periuk api di jalan raya awam, “ katanya dalam satu kenyataan.

Negeri Kayah, yang bersempadan dengan Thailand, antara satu daripada beberapa wilayah yang menyaksikan pertempuran kumpulan penentang awam dengan junta. Junta dilaporkan bertindak balas dengan serangan bom dan tembakan meriam.

Andrews mengatakan sebarang tekanan atau pengaruh negara anggota PBB harus dikenakan terhadap pemimpin junta Min Aung Hlaing supaya segera membuka akses dan membenarkan bantuan menyelamatkan nyawa sampai kepada mereka yang memerlukan.

"Semua pemimpin wilayah, NGO antarabangsa, dan organisasi masyarakat awam harus sedaya upaya berusaha untuk mengelakkan bencana nyawa. Negara-negara jiran harus bertindak bersungguh-sungguh untuk menyokong pergerakan bantuan rentas sempadan ke Myanmar,” katanya.

Beliau mengecam serangan junta terhadap penduduk awam, dengan menekankan bahawa serangan berskala besar di negeri Kayah adalah yang terbaru dalam siri tindakan haram yang mungkin merupakan kekejaman besar-besaran.

Artikel Berkaitan:

Sekurang-kurangnya 857 orang telah dibunuh pasukan keselamatan dan lebih 5,800 telah ditangkap sejak rampasan kuasa tentera, menurut kumpulan penyokong Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP). - Bernama