X

Kindly register in order to view this article
!

Prestasi Ismail Sabri, KJ bukti PN tidak gagal

Pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, Putrajaya menjadi bandar pertama di negara ini mencapai 100 peratus pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera. Gambar kecil dari kiri: Khairy Jamaluddin, Ismail Sabri Yaakub
A
A

SHAH ALAM - Prestasi baik ditunjukkan beberapa menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Khairy Jamaluddin Abu Bakar sewaktu mendepani krisis pandemik Covid-19 adalah bukti jelas kerajaan sedia ada tidak gagal.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, PN tidak wajar disimpulkan sebagai sebuah kerajaan gagal tatkala cabaran berdepan pandemik Covid-19 adalah sangat besar.

Jelas beliau, pada saat ini, banyak negara lain termasuk Jepun yang menghadapi masalah sama di mana kerajaannya berdepan kemarahan rakyat susulan kes jangkitan Covid-19 kembali meningkat secara serius.

"Disebabkan perlembagaan Jepun tidak membolehkan darurat dilaksanakan, maka terdapat perbincangan hangat dalam kalangan pemimpin politik negara itu bagi memindanya agar darurat dapat dilaksanakan.

"Ini sekali gus menjadi petanda bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan kita adalah sesuatu yang betul sehinggakan ia juga mahu dilakukan oleh negara lain.

"Dengan beberapa menteri seperti Ismail Sabri dan KJ (Khairy Jamaluddin) menunjukkan prestasi baik dalam menangani krisis Covid-19 ketika ini, adalah tidak adil bagi pembangkang menyimpulkan kerajaan PN gagal mendepani pandemik berkenaan," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan baharu susulan Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik di negara ini datang menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara, bermula Rabu sehingga Jumaat ini.

Dr Kamarul Zaman
Dr Kamarul Zaman

Namun, ada sumber kerajaan menjelaskan ia tidak lebih sekadar inisiatif Seri Paduka Baginda untuk mendapatkan pandangan semua ketua parti berhubung tempoh proklamasi darurat.

Pandangan itu diperkukuhkan dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan pihaknya merayu Seri Paduka Baginda menghalang perlanjutan tempoh proklamasi darurat selain menegaskan isu pembentukan kerajaan baharu tidak dibincangkan.

Segala spekulasi digembar-gemburkan beberapa portal pro pembangkang itu wujud susulan dakwaan kerajaan PN dikatakan gagal dalam menguruskan pandemik Covid-19 dengan berkesan meskipun darurat dilaksanakan sejak bulan Januari lalu.

Kamarul Zaman turut berpendapat masalah kekurangan disiplin dalam kalangan rakyat dan segelintir ahli politik untuk mematuhi SOP Covid-19 ditetapkan kerajaan sebenarnya menyumbang kepada krisis pandemik lebih buruk ketika ini.

Jelas beliau, tindak-tanduk pembangkang semakin kuat memainkan sentimen tidak wajar dengan memperkenalkan tanda pagar #kerajaangagal adalah sekadar bertujuan meraih perhatian rakyat melalui usaha memperkecilkan kredibiliti PN.

"Sedangkan hakikat sebenarnya, emosi kemarahan ini sepatutnya perlu ditujukan kepada rakyat jelata yang gagal mematuhi SOP hingga mewujudkan pelbagai kluster.

"Adalah amat senang untuk menuding jari kepada satu pihak berbanding kepada rakyat jelata, sebab itulah kerajaan dijadikan kambing hitam.

"Tanda pagar #kerajaangagal ini adalah bermotifkan politik sempit semata-mata sedangkan jika dibuat penelitian yang rasional dan objektif prestasi kerajaan tidaklah seteruk itu," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!