X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Pemuda hilang ditemui meninggal dunia di dasar lombong

Mayat mangsa ditemukan anggota PPDA semasa operasi mencari dan menyelamat pada jam 11.45 pagi Selasa.
A
A

KAMPAR - Selepas 18 jam dilaporkan hilang, pemuda yang dikhuatiri lemas ketika mandi di lombong terbiar dalam sebuah kebun buah-buahan di Kuala Kampar dekat sini ditemui meninggal dunia pada Selasa.

Mayat Peng Lawn, 21, yang merupakan warga Myanmar ditemui di dasar lombong itu pada kedalaman kira-kira enam meter oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Ipoh sekitar jam 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pemeriksaan awal ke atas fizikal mangsa tidak menemui sebarang kesan perlakuan jenayah.

"Hanya ada kesan bengkak pada mulut manakala lain-lain bahagian tiada sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat dan ujian saringan awal Covid-19 yang dijalankan menunjukkan mangsa disahkan negatif," katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan bermula jam 7 pagi Selasa telah ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.15 tengah hari.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya di sini pada Selasa.

Anggota PPDA membawa naik mayat mangsa ke tebing untuk diserahkan kepada polis.
Anggota PPDA membawa naik mayat mangsa ke tebing untuk diserahkan kepada polis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Meor Mohammad Ali Meor Hussin berkata, operasi mencari mangsa dilakukan dengan kaedah 'surface searching' dan selaman oleh PPDA.

Katanya, seramai 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, PPDA Ipoh dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba turut serta dalam operasi terbabit.

"Mangsa dijumpai di dasar lombong pada kedalaman lebih enam meter dan dibawa naik ke tebing untuk diserahkan kepada polis," katanya.

Kejadian sekitar jam 6.30 petang pada Isnin itu disedari abang mangsa yang ternampak adiknya berenang ke tengah lombong dan berada dalam keadaan terkapai-kapai.

Mangsa telah pergi ke kebun berkenaan untuk mencari kerja bersama abangnya sebelum mandi di lombong itu untuk menyegarkan badan.

ARTIKEL BERKAITAN: Niat cari kerja, lelaki dikhuatiri lemas mandi lombong


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!