X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Niat cari kerja, lelaki dikhuatiri lemas mandi lombong

Gambar hiasan: Gambar kecil: Superintendan Hasron Nazri Hashim
A
A

KAMPAR - Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di lombong terbiar di sebuah kebun buah-buahan di Kuala Kampar di sini pada petang Isnin.

Mangsa dikenali Peng Lawn, 21, warga Myanmar dikatakan pergi ke kebun berkenaan untuk mencari kerja bersama abangnya sebelum mandi di lombong itu untuk menyegarkan badan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian sekitar jam 6.30 petang itu disedari abang mangsa yang ternampak adiknya berenang ke tengah lombong dan berada dalam keadaan terkapai-kapai.

"Abang mangsa berenang untuk cuba menyelamatkan adiknya, tetapi tidak berjaya kerana keletihan. Dia kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pemilik kebun," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, keterangan awal mendapati, dua beradik itu datang ke kebun terbabit sekitar jam 4.30 petang untuk mencari kerja selepas beberapa bulan menganggur.

Katanya, ketika sampai, pemilik kebun berusia 57 tahun menyuruh mereka melihat dahulu keadaan kebunnya sebelum memulakan kerja.

"Selepas beberapa jam, mereka kemudiannya mandi di lombong berhampiran untuk menyegarkan badan.

"Abang mangsa mengaku bahawa semasa mandi, mereka berada dalam keadaan mabuk" katanya.

Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kampar sebaik menerima panggilan kejadian itu pada jam 10.50 malam.

Setakat pagi ini, mangsa masih belum ditemui.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!