Segera wartakan semua klinik kesihatan KKM sebagai PPV: Guan Eng

Orang ramai menunggu giliran untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia Spice Arena Bayan Lepas, pada Isnin. -Foto Bernama
Orang ramai menunggu giliran untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia Spice Arena Bayan Lepas, pada Isnin. -Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - DAP mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya bertindak segera mewartakan semua klinik kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, langkah tersebut juga bagi memastikan vaksinasi tersedia mudah diakses dengan cepat dan mampu dimiliki semua rakyat Malaysia terutama yang tinggal di luar bandar.

Beliau berkata, daripada 382 PPV di seluruh negara ketika ini, Pulau Pinang hanya mempunyai 11 PPV, manakala Sabah pula sebanyak 29 PPV.

"Jumlah ini jelas menunjukkan ia tidak cukup untuk kedua-dua negeri itu. Oleh itu, dengan mewartakan semua klinik kesihatan KKM sebagai PPV, ia boleh mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk dengan cepat dan lancar menjelang 31 Disember nanti.

"Bagaimana dengan 382 PPV ini dapat memberikan vaksin kepada 80 peratus daripada 32.75 juta penduduk di negara ini termasuk bukan warganegara dengan cepat?

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

"Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) bergerak dengan kadar perlahan dengan 2.4 juta orang (7.5 peratus penduduk) menerima dos pertama, manakala 1.13 juta (3.5 peratus penduduk) mendapat vaksinasi penuh dos kedua," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, PICK juga dilihat gagal apabila tergendala akibat kelewatan tempahan bekalan vaksin selain penundaan penghantaran yang menyebabkan kadar vaksinasi rendah.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah PPV yang kecil tidak akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi. Seperti yang boleh dilihat, daripada jumlah dos harian diberikan pada enam hari pertama bulan Jun iaitu 81,183 orang pada 6 Jun dan 90,277 orang pada 4 Jun.

"Sekiranya kerajaan terus mengekalkan kadar ini dengan kurang daripada 100,000 dos setiap hari, tidak mungkin Malaysia dapat mencapai imuniti kelompok menjelang Disember ini," katanya.

Beliau sehubungan itu berkata, dengan mengubah klinik kesihatan menjadi PPV akan membantu memperluas jangkauan serta akses vaksinasi ke kawasan luar bandar.

"Ramai yang tinggal di kawasan pedalaman atau luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak menghadapi masalah logistik untuk pergi ke PPV yang terletak jauh dari rumah mereka," katanya.

Tambah Guan Eng, bagi Pulau Pinang, jangkaan vaksinasi untuk selesai menjelang September oleh kerajaan PN adalah tidak realistik.

"Kadar vaksinasi Pulau Pinang adalah keempat terendah selepas Sabah, Selangor dan Johor pada kadar 8.14 peratus. Untuk mencapai sasaran pada September bukan hanya pada tersedianya bekalan vaksin, tetapi pada peningkatan jumlah PPV.

"Kurangnya keyakinan dan defisit kepercayaan bahawa kerajaan PN akan memastikan pemberian vaksin dengan cepat dan lancar, mungkin sebab mengapa Selangor dan Johor berusaha untuk membeli bekalan vaksin mereka sendiri," katanya.