Minyak masak naik harga: KPDNHEP Selangor keluar 11 notis

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di sebuah premis pada Isnin.
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di sebuah premis pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan 11 notis terhadap peruncit yang menjual minyak masak dalam botol lima kilogram (kg) melebihi harga RM32.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi jam 11 pagi yang disertai 20 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Selangor telah melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga minyak masak botol 5kg di peringkat peruncit di seluruh daerah di negeri ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap 23 peruncit mendapati ada yang menjual minyak masak botol 5kg pada harga mencecah RM34.20 sebotol.

"Siasatan lanjut akan dilakukan sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Muhamad Zikril berkata, peniaga terbabit diberi tempoh masa selama dua hingga lima hari bekerja untuk membekalkan maklumat yang diarahkan.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, pihak peruncit memaklumkan kenaikan harga jualan disebabkan pembekal telah menaikkan harga minyak masak dalam botol itu dan memaksa mereka untuk menaikkan harga jualan.

"Alasan lain ialah kenaikan harga pasaran minyak masak global turut mempengaruhi kenaikan harga jualan minyak masak di premis mereka," katanya.

Sehubungan itu katanya, KPDNHEP Selangor turut mengenalpasti pembekal yang menaikkan harga jualan minyak masak botol 5kg kepada peruncit dan tindakan susulan akan dilakukan terhadap mereka dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, walaupun harga jualan minyak masak botol 5kg tidak dikawal kerajaan tetapi peniaga masih tertakluk di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Kami memberi amaran dan peringatan kepada peniaga minyak masak di negeri ini supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan mengambil keuntungan yang tidak munasabah.

"Penalti berat akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang ingkar.

Pengguna di Selangor atau orang awam yang ingin menyalurkan aduan berkaitan isu halal kepada Kementerian ini boleh berbuat demikian melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my atau menghubungi talian 1800 886 800 atau menghantar aduan terus ke email e-aduan@kpdnhep.gov.my.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Terkejut minyak masak mahal’

Harga minyak masak naik enam kali

Kerajaan digesa siasat, atasi kenaikan harga minyak masak

Minyak masak naik harga: KPDNHEP Selangor keluar 11 notis