‘Peneroka tidak untung pun’

Tidak semua peneroka memperoleh pendapatan maksimum setiap bulan lebih-lebih lagi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh ini.
Tidak semua peneroka memperoleh pendapatan maksimum setiap bulan lebih-lebih lagi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh ini.
A
A
A

KUANTAN - Kenaikan harga minyak masak yang terlalu tinggi di pasaran bukan jaminan peningkatan pendapatan langsung kepada golongan peneroka.

Situasi tersebut sebaliknya memberi kesan kepada peningkatan kos hidup mereka.

Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar berkata, pendapatan peneroka bergantung kepada harga sawit semasa dan tidak ditentukan berdasarkan harga minyak masak di pasaran.

Menurutnya, walaupun harga sawit agak baik ketika ini namun tidak semua peneroka memperoleh pendapatan maksimum setiap bulan lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Masalah kekurangan tenaga buruh antara faktor hasil tidak dapat dituai sepenuhnya sekali gus memberi kesan kepada pendapatan peneroka.

“Apabila harga minyak masak dan barangan makanan naik, sudah pasti akan memberi kesan kepada peningkatan kos hidup kami juga,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sulaiman memberitahu, sekiranya harga sawit naik peneroka mendapat manfaat namun jika harga minyak masak yang naik, faedahnya hanya dinikmati pekilang, pemborong dan penjual sahaja.

Sementara itu, penerokawati dari Felda Chini Timur 2, Pekan, Zainab Awang Ngah, 57, berkata, kenaikan harga barang di pasaran turut memberi kesan kepada peneroka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, harga sawit semasa ada berubah setiap minggu dan boleh mencapai sehingga RM900 satu tan dan ada masa turun kepada RM800 untuk satu tan.

“Jadi apabila harga minyak masak dan barangan lain naik, kami tetap akan terkesan apatah lagi dalam tempoh pandemik Covid-19,” katanya.

Zainab memberitahu, peningkatan harga minyak masak di pasaran tidak memberi impak positif kepada peneroka sebaliknya mereka terbeban jika situasi itu tidak dikawal.

Kebimbangan sama dilontarkan oleh belia Felda Lepar Hilir 2 di sini kerana kenaikan harga minyak masak di pasaran hanya akan membebankan pengguna termasuk peneroka.

Bagi Asrullah Affendi Abdullah, kerajaan perlu memantau situasi itu dan mencari punca kenaikan harganya.

Jelasnya, ramai peneroka sudah mampu menarik nafas lega dengan kenaikan harga sawit mentah ketika ini tetapi tidak bermakna mereka tidak akan terkesan dalam isu ini.

“Pada masa sama, ramai yang terkesan dalam tempoh PKP termasuk belia dan generasi kedua Felda kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Justeru, kenaikan harga barangan keperluan seperti minyak masak tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden 2, Majlis Belia Negeri Pahang menggesa kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan segera dalam mengawal kenaikan harga minyak masak di pasaran.