UPSI kongsi ilmu pemuliharaan ekosistem bersama Indonesia

UPSI anjur Webinar bertajuk 'Pemulihan Ekosistem' yang turut mengundang dua panel dari Indonesia pada Sabtu lepas.
UPSI anjur Webinar bertajuk 'Pemulihan Ekosistem' yang turut mengundang dua panel dari Indonesia pada Sabtu lepas.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkongsi ilmu dan pandangan mengenai kepentingan serta usaha pemuliharaan ekosistem alam sekitar bersama pakar ilmuan dari Indonesia.

Penganjuran program sempena Hari Alam Sekitar Sedunia itu dilakukan secara webinar pada Sabtu lepas dengan menampilkan panel Pensyarah Jabatan Geografi STKIP PGRI Sumatera Barat Indonesia, Erna Juita dan Pensyarah Jabatan Pendidikan Geografi Universitas Negeri Yogjakarta, Dr Nurul Khotimah.

Turut dijemput sebagai panel adalah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya, Zuraini Ahmad Tajudin; Pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Profesor Madya Dr Fauziah Che Leh dan Pensyarah Kanan Jabatan Geografi dan Alam Sekitar UPSI, Dr Mohmadisa Hashim selaku moderator.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim berkata, dua panel dari negara jiran tersebut berkongsi pembangunan yang dilakukan kerajaan itu dalam memulihara ekosistem di Pulau Jawa dan Pulau Sumatera.

Menurutnya, panel jemputan lain pula berkongsi pengalaman Malaysia dalam menghadapi bencana banjir besar pada 2014 lalu serta beberapa siri tragedi tanah runtuh yang berlaku disebabkan gangguan ekosistem.

"Menerusi webinar ini, wakil kita daripada JAS sempat memberi penerangan tanggungjawab jabatan itu terhadap proses pemuliharaan ekosistem.

"Imbasan mengenai masalah banjir serta pencemaran ini satu pendedahan yang positif kepada masyarakat supaya memahami kepentingan ekosistem dalam alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Webinar bertajuk 'Pemulihan Ekosistem' itu turut disertai penuntut UPSI dan orang awam serta dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan UPSI, Profesor Dr Marzita Puteh.

Artikel Berkaitan: