X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya surat pengesahan kementerian, agensi dibenar lalu SJR

PDRM mengingatkan orang ramai agar mengemukakan dokumen yang dikeluarkan oleh kementerian atau agensi yang telah dibenarkan ketika melalui SJR.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan bahawa surat pengesahan daripada kementerian atau agensi berkaitan sahaja diterima pakai di sekatan jalan raya (SJR) berkuatkuasa mulai 8 Jun.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini sebagai bukti yang membolehkan pekerja bergerak dari kediaman ke tempat kerja bagi sektor-sektor dibenarkan beroperasi iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi sektor pengangkutan awam dan barangan keperluan.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi. MAFI hanya akan mengeluarkan surat pengesahan kepada pekebun kecil.

"Bagi yang mempunyai lesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI [Covid-19 Intelligent Management System(CIMS 3.0)]," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Acryl Sani berkata, selain itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bagi sektor perladangan dan pengeluaran hasil seperti kelapa sawit, getah atau sebagainya.

Jelasnya, untuk pemegang permit dan lesen Lembaga Getah Malaysia (LGM) seperti pekebun kecil, estet, nurseri, peniaga getah, pedagang dan pengilang getah boleh menggunakan surat pengesahan yang dikeluarkan oleh MPIC atau LGM.

"Bagi pengilang pembuatan produk getah seperti sarung tangan, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI (CIMS 3.0)," katanya.

Tambah beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) pula adalah untuk sektor institusi kewangan dan insurans manakala Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkaitan sektor urus niaga saham.

"Bagi sektor peniaga kecil, penjaja gerai makanan, food truck di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT). Pengeluaran lesen berniaga bagi pengurusan strata, sisa pepejal dan sanitasi surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI (CIMS 3.0)," ujarnya.

Acryl Sani berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi perkhidmatan telekomunikasi, media, pos, kurier dan penyiaran.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN), semua surat pengesahan yang dikeluarkan oleh agensi-agensi yang berada di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan sebagainya akan diterima pakai bagi kebenaran pergerakan.

"PDRM akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak di bawah peraturan rentas sempadan iaitu ziarah kematian, kecemasan dan bekerja sendiri.

"Dokumen kebenaran seperti yang dimaklumkan hendaklah bertarikh mulai 1 Jun. Pihak yang tiada sebarang dokumen yang sah atau telah tamat tempoh iaitu sebelum 1 Jun akan diarahkan berpatah balik," katanya.

Tambah beliau, bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggaraan, penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperoleh daripada polis secara 'one-off' (1 Jun hingga 14 Jun).

"Bagi pekerja sektor yang tidak dibenarkan beroperasi tetapi perlu untuk ke tempat kerja bagi tujuan khusus seperti penyediaan dokumen, invois pembayaran gaji dan sebagainya, kebenaran PDRM akan diberikan secara 'one-off' iaitu bagi tempoh dua hingga tiga hari sahaja. Surat pengesahan majikan perlu dikemukakan sebagai bukti," katanya.

Katanya, pengoperasian firma guaman dengan kakitangan seramai 20 peratus, surat akan dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri melalui MITI (CIMS 3.0).

"Bagi pengamal undang-undang yang perlu hadir ke mahkamah untuk mewakili anak guam dalam kes-kes yang baharu (reman Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah) hendaklah menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman di SJR.

"Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya.

Justeru itu, PDRM mengingatkan orang ramai agar mengemukakan dokumen yang dikeluarkan oleh kementerian atau agensi yang telah dibenarkan ketika melalui SJR.

"Mereka yang gagal mengemukakan surat pengesahan atau mengemukakan surat pengesahan palsu akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Acryl Sani berkata, PDRM juga memohon masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19.

"Sekiranya terdapat aduan mengenai pematuhan dan pelanggaran SOP PKP, salurkan melalui Malaysia n Government Call Centre (MyGCC) di talian 03-80008000 atau emel ke [email protected] atau [email protected]," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!