'Lockdown' fasa pertama terlalu longgar, tiada beza PKPB, PKPP

Aliran trafik di Lebuh AMJ agak sesak walaupun ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama- Foto Bernama, gambar kecil: Wong Siew Ki
Aliran trafik di Lebuh AMJ agak sesak walaupun ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama- Foto Bernama, gambar kecil: Wong Siew Ki
A
A
A

BALAKONG - Arahan Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama dilihat longgar dan tiada beza dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Wong Siew Ki berkata, arahan penutupan penuh fasa pertama itu sepatutnya lebih ketat seperti PKP 1.0 yang terbukti berkesan mengurangkan angka jangkitan harian secara drastik.

“Kerajaan seolah-olah hanya tahu mencipta nama baharu untuk perintah-perintah ini sahaja tetapi tiada perbezaan.

"Berbeza hanyalah waktu operasi. Selepas 15 bulan berhadapan dengan Covid-19, kerajaan seakan-akan tidak belajar dan masih seperti hari pertama berhadapan dengan virus ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan pada saat-saat akhir kerap berubah menggambarkan kekurangan persediaan dan koordinasi di antara agensi kerajaan.

Katanya, keadaan bertambah rumit apabila surat pengesahan perkhidmatan perlu yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini tidak boleh diguna pakai bermula 1 Jun dan orang ramai diminta membuat permohonan baharu melalui kementerian di bawah industri masing-masing.

“SOP baharu seakan-akan hanya dibincangkan selepas pengumuman (penutupan penuh) dibuat dan mengambil masa lebih daripada 40 jam sebelum diumumkan.

“Surat pengesahan yang dikeluarkan MITI sebelum ini tidak boleh diguna pakai. Rakyat yang berkhidmat dalam perkhidmatan perlu hanya diberi masa sehari untuk mendapatkan surat pengesahan sebelum sekatan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Hampir semua laman web kementerian mengalami kegagalan pada hari tersebut (Isnin) dan mengakibatkan kebanyakan rakyat gagal mendapatkan surat pengesahan tersebut.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua pihak mengutamakan kesihatan rakyat dan bekerjasama untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Situasi semakin kritikal, angka kematian meningkat. Pada 2 Jun, kematian harian mencecah 126 orang dan 103 orang keesokannya. Ini bukan sekadar nombor tetapi merupakan kehilangan orang tersayang beratus-ratus keluarga.

“Saya menggesa semua pihak menghentikan pergaduhan politik dan bekerjasama untuk keselamatan rakyat,” tegas beliau.