Johor tidak benar ibadah korban di masjid, surau

Yahya Ahmad
Yahya Ahmad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelaksanaan ibadah korban melibatkan aktiviti sembelih, memotong, menimbang dan mengagihkan daging korban pada Aidiladha tahun ini tidak dibenar dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh Johor.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, aktiviti itu hanya dibenarkan dibuat di rumah sembelihan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.

"Agihan akan dilaksanakan terus pihak penganjur kepada peserta dan asnaf fakir miskin selepas selesai kerja ibadah korban di rumah sembelihan.

"Dalam situasi yang sedang berlaku di waktu ini, pelaksanaan ibadah korban perlu dilihat dalam pelbagai sudut termasuk dalam memutuskan rantaian Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, bagi tahun ini pusat penyembelihan yang berdaftar berjumlah 115 rumah sembelih sementara di negeri ini; 12 pemegang lesen swasta rumah penyembelihan (ruminan); lima rumah sembelih swasta sementara dan 10 Pejabat Perkhidmatan Veterinar di semua daerah.

Katanya, walaupun begitu pelaksanaan ibadah korban dibenarkan hanya melibatkan ibadah wajib.

Jelas beliau, ibadah korban wajib dimaksudkan ialah korban nazar dan korban kali pertama iaitu mereka berkemampuan tetapi belum melaksanakan ibadah tersebut sebelum ini.

"Tarikh dan masa dibenarkan ialah bermula 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Bagaimanapun, pelaksanaan korban pada hari pertama hendaklah selepas solat sunat Aidiladha dan khutbah dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Waktu operasi rumah sembelihan berdaftar, katanya, tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.