Buang yang keruh, ambil yang jernih

Ahmad
Ahmad
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan melakukan penambahbaikan terhadap perlembagaan badan induk sepak takraw yang didakwa menjadi pertikaian dalam kalangan bekas ahli gabungan sebelum ini.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abd Aziz yang akan memangku tugas presiden bakal menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi melakukan penambahbaikan terhadap perlembagaan PSM dalam masa terdekat.

“Jawatankuasa ini akan mengumpul input-input dalam kalangan ahli gabungan yang masih kekal dan telah keluar dengan niat untuk kita bersama menyatukan kembali persatuan yang telah banyak mencipta sejarah untuk negara dalam sukan sepak takraw ini.

“Jadi saya sekali lagi menyeru kepada bekas ahli gabungan untuk kembali bersama membuang yang keruh dan mengambil yang jernih demi pembangunan sepak takraw negara pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada petang Jumaat.

Pada masa sama, Ahmad gembira kerana masih terdapat dalam kalangan bekas jurulatih dan pemain negara yang mengharapkan PSM kekal menjadi entiti memayungi pembangunan sepak takraw negara biarpun ketika persatuan itu berdepan kemelut.

“PSM ini umpama satu keluarga yang besar, dalam satu keluarga yang besar tentu sahaja akan berlaku perbezaan pandangan, pendapat dan sebagainya, ibarat sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula kita dalam keluarga yang besar ini.

“Kepada bekas jurulatih dan bekas pemain banyak berjasa serta mengharumkan nama negara ketika menyarung jersi berlogo PSM, saya amat menghargai jasa dan sumbangan anda semua selama ini.

“Jadi saya harap ahli gabungan yang sudah keluar, hargailah jasa bekas pemain dan bekas jurulatih dengan menghormati permintaan mereka supaya PSM terus dikekalkan.

Artikel Berkaitan:

“Di kesempatan ini juga, saya merendah diri memohon maaf atas segala kesilapan secara sedar atau tidak sedar yang telah saya lakukan selama ini. Marilah kita bersama buang yang keruh, ambil yang jernih.

“Terima kasih kepada semua ahli gabungan sama ada masih kekal atau pun telah keluar di atas segala sokongan dan komitmen yang diberikan kepada PSM selama ini,” ujarnya.

Sementara pada sebelah malam ketika program temu bual di Astro Arena, Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden PSM berkuatkuasa 12 tengah malam tadi atas rasa tanggungjawab susulan kemelut melanda badan induk sepak takraw negara tersebut ketika ini.

Menurut Ahmad, keputusan itu diambil bagi memastikan keharmonian dalam kalangan ahli keluarga sukan tradisi di peringkat tempatan selepas 10 persatuan negeri mengumumkan penarikan diri susulan pergeserannya dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).