Wanita warga asing ditahan terlibat aktiviti pelacuran

No Image Caption
A
A
A

MELAKA- Seorang wanita warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran di sebuah hotel di kawasan Plaza Mahkota, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, penahanan wanita berusia 38 tahun itu dilakukan oleh pasukan polis dalam Op Noda dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira jam 6.45 petang.

"Berdasarkan siasatan, wanita itu didapati membuat promosi mendapatkan pelanggan melalui aplikasi media sosial.

"Dia kemudiannya menggunakan transaksi secara tunai apabila bersemuka di bilik hotel yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, suspek juga didapati melakukan kegiatan tidak bermoral ini lebih kurang sebulan dengan kehadiran pelanggan minima dua orang sehari.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan," katanya.

Afzanizar berkata, mengikut rekod IPD Melaka Tengah dari Januari sehingga Mei tahun ini, sebanyak 14 serbuan dilakukan berkaitan kegiatan pelacuran di sekitar Melaka Tengah dan sebanyak 12 kes telah didakwa di mahkamah.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti pelacuran ataupun aktiviti tidak bermoral sama ada sebagai individu yang melanggan atau terlibat dalam penawaran perkhidmatan seks ini.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis memandang serius perkara ini kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 372b Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-dua sekali," katanya.