Rumah Ronald McDonald ketiga dibuka secara rasmi di Hospital Tunku Azizah

Rumah penginapan sementara di HTA bantu ringankan beban keluarga pesakit.
Rumah penginapan sementara di HTA bantu ringankan beban keluarga pesakit.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Rumah Ronald McDonald ketiga di negara ini kini dibuka secara rasmi kepada keluarga pesakit pediatrik yang menjalani rawatan di Hospital Tunku Azizah (sebelum ini dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur).

Rumah Ronald McDonald merupakan rumah penginapan sementara yang bertujuan untuk memenuhi keperluan keluarga pesakit kanak-kanak dari luar Kuala Lumpur.

Pembukaan rumah ini membantu meringankan beban kewangan mereka dengan penyediaan penginapan pada harga berpatutan di kawasan bandar iaitu hanya RM15 semalam.

Terletak di tingkat 10 kompleks parkir hospital itu, rumah ini dilengkapi dengan 20 bilik keluarga yang mampu memuatkan sehingga 80 orang penghuni, ruang makan, ruang rehat, dapur, bilik dobi, surau dan ruang permainan termasuk kemudahan lain.

Kemudahan bilik tidur memberi keselesaan kepada pesakit dan ahli keluarga.
Kemudahan bilik tidur memberi keselesaan kepada pesakit dan ahli keluarga.

Lokasinya yang strategik iaitu di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur membolehkan penghuni menikmati keindahan pemandangan banda raya pada waktu malam.

Artikel Berkaitan:

Apa yang penting, rumah ini menawarkan persekitaran yang kondusif dan selesa kepada pesakit semasa menjalani pemulihan dan lokasinya dalam kawasan hospital memudahkan pesakit mendapatkan rawatan selain berada dekat dengan keluarga mereka.

Keluarga yang berminat untuk menginap di Ronald McDonald House di Hospital Tunku Azizah boleh menghubungi talian 03-2692000 untuk maklumat lanjut.

Ruang yang luas untuk penghuni berehat sambil bersuai kenal dengan penghuni yang lain.
Ruang yang luas untuk penghuni berehat sambil bersuai kenal dengan penghuni yang lain.

Untuk rekod, Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) di Kuala Lumpur telah beroperasi lebih dari 20 tahun.

Sebuah lagi terletak di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian, Kelantan, dibuka pada tahun 2019.

Pada masa ini, terdapat lebih daripada 370 Rumah Ronald McDonald di seluruh dunia menyediakan penginapan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak yang dirawat di hospital.

Demi anak-anak Malaysia

Kelengkapan dapur memudahkan penyediaan makanan tanpa perlu membeli di luar.
Kelengkapan dapur memudahkan penyediaan makanan tanpa perlu membeli di luar.

Presiden Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia serta Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, RMHC Malaysia komited untuk menyediakan kemudahan yang memanfaatkan masyarakat.

Menurutnya, pembiayaan kesemua rumah ini adalah hasil sumbangan pelanggan McDonald’s menerusi kotak duit syiling RMHC yang terdapat di lebih 300 restoran McDonald's di seluruh negara serta sumbangan daripada warga kerja, rakan niaga dan francaisi McDonald’s.

Beliau dan warga RMHC Malaysia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan dan pembangunan semua Rumah Ronald McDonald.

“Terima kasih atas kemurahan hati anda semua terhadap misi kami untuk mengubah kehidupan anak-anak Malaysia. RMHC Malaysia akan terus memperjuangkan keperluan anak-anak Malaysia melalui dana yang kami terima daripada rakyat Malaysia yang pemurah.

“Kami berharap melalui kerjasama berterusan dengan Kementerian Kesihatan, terutamanya hospital yang mempunyai bilangan pesakit yang tinggi, kami dapat terus mengotakan janji untuk ‘Keeping Families Close’ atau memastikan keluarga sentiasa berada dekat melalui inisiatif Rumah Ronald McDonald ini," katanya.

Tempat khas anak-anak bermain turut disediakan.
Tempat khas anak-anak bermain turut disediakan.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr Shamsul Anuar berkata, Hospital Tunku Azizah merupakan sebuah hospital rujukan kebangsaan dan pusat kecemerlangan perkhidmatan perawatan khusus, termasuk pediatrik.

Menurutnya, pesakit yang dirujuk ke hospital ini datang dari segenap pelosok negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Rumah Ronald McDonald di premis hospital pastinya akan memberi ketenangan fikiran kepada lebih daripada 20,000 keluarga yang terpaksa berulang-alik ke hospital ini setiap tahun, terutama golongan B40.

“Rumah ini akan meringankan beban kewangan keluarga dari luar Kuala Lumpur yang memerlukan tempat penginapan dan pengangkutan ketika menemani anak-anak mereka di hospital,” katanya.

Peranan RMHC

Bilik dobi turut melengkapi keperluan di Rumah Ronald McDonald.
Bilik dobi turut melengkapi keperluan di Rumah Ronald McDonald.

RMHC Malaysia telah ditubuhkan pada Februari 1990 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan misi untuk mewujudkan, mencari dan menyokong program-program yang mampu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.

RMHC Malaysia menjayakan empat program utama untuk menolong anak-anak Malaysia menerusi Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, Gift of Smile dan pek Kembali-Ke-Sekolah.

Kesemua program ini merangkumi tiga teras utama RMHC Malaysia iaitu kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Selain daripada kotak duit syiling RMHC Malaysia, pelanggan juga boleh menyumbang melalui Kios Pesanan Sendiri di restoran McDonald's dan juga secara pemindahan dana ke akaun RMHC Malaysia dengan Maybank, gerbang pembayaran PayPal, saluran e-dagang Shopee atau platform e-dompet Boost dan Touch 'N Go.

Hubungi RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 jika anda berminat untuk menderma atau bekerjasama bagi membantu kanak-kanak Malaysia dan keluarga mereka.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk menjadi sukarelawan di Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah atau Rumah Ronald McDonald yang berhampiran dengan mereka.