X

Kindly register in order to view this article
!

MITI perkasakan sistem keselamatan CIMS 3.0

Mohamed Azmin
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus memperkasakan kerjasama dengan Cyber Security Malaysia (CSM) termasuk pakar-pakar teknologi maklumat (IT) dalam meningkatkan sistem keselamatan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 bagi memastikan ia tidak dibolosi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia susulan terdapat aduan beberapa pihak yang mendakwa bahawa CIMS 3.0 telah dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

"MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem ini.

"MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh ini," katanya dalam Taklimat Media Mengenai Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 di sini pada Khamis.

Mohamed Azmin berkata, MITI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Justeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang pelanggaran SOP dan operasi syarikat adalah diminta untuk tampil.

"Kita galakkan pemberi maklumat untuk tampil melaporkan sekiranya terdapat pelanggaran tertentu.

"Kita perlukan kerjasama pemberi maklumat ini bersama MITI dan agensi-agensi lain untuk memerangi Covid-19 ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!