FAM lalui proses panjang bawa masuk Cools

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa melalui proses panjang sebelum berjaya membawa pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools menyertai skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, proses mendapatkan kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) cukup lama susulan Cools pernah mewakili skuad remaja Belgium.

“Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Dion Cools bersama pasukan Belgium, FAM beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Belgium (RBFA) selepas menerima bantuan FIFA.

“Biarpun telah mewakili Belgium bagi skuad B-18, B-19 dan B-21, Dion Cools masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya atas kelulusan Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan syarat dia tidak pernah beraksi bersama skuad senior Belgium.

“Setelah membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut.

“Selepas mendapat kelulusan FIFA, FAM dengan segera mendaftarkan nama Dion Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Selepas ia diluluskan FIFA dan AFC, barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Dion Cools sebagai pemain Harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama, FAM merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi watak penting untuk meyakinkan Cools menyertai Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

“Junjung kasih kepada Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana baginda telah memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior,” ujarnya.