Majlis Presiden PH yakin, Bersatu di bawah kepimpinan Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) meletakkan sepenuh keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Ketua Setiausahanya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau menyatakan pendirian itu sekali gus menyangkal sebarang dakwaan kononnya wujud komplot dalam parti komponen PH untuk membentangkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Dr Mahathir.

"Sepanjang pengetahuan saya tak ada timbul isu berkenaan. Majlis Presiden PH bersatu dan mantap... kami juga tidak pernah persoal kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

"Saya rasa itu (dakwaan) hanya khabar angin atau spekulasi politik sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur, kampus Ampang Hilir di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Ditanya lanjut mengenai dakwaan tersebut juga mempunyai kaitan dengan pertemuan Tun Dr Mahathir dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Saifuddin berkata politik adalah sesuatu yang dinamik.

Beliau yang juga Menteri Luar berkata Dr Mahathir seorang figura politik yang sangat berpengalaman dan dalam PH sendiri, tidak pernah menutup pintu kepada sesiapa.- Bernama

Artikel Berkaitan: