Budak 6 tahun 'mengadu' kepada PM dibebani kerja sekolah

Kanak-kanak enam tahun mengadu kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi mengenai bebanan kerja sekolah di luar kemampuannya tular di laman sosial.
Kanak-kanak enam tahun mengadu kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi mengenai bebanan kerja sekolah di luar kemampuannya tular di laman sosial.
A
A
A

NEW DELHI - Rakaman video menunjukkan seorang kanak-kanak 'mengadu' kepada Perdana Menteri (PM) India, Narendra Modi mengenai bebanan kerja sekolah di luar kemampuannya tular di laman sosial.

NDTV melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dari Kashmir memberitahu, dia perlu menghadiri kelas dalam talian bermula jam 10 pagi dan berterusan sehingga jam 2 petang.

"Mengapa guru memberikan begitu banyak kerja sekolah kepada anak-anak kecil, Modi Saab?," soalnya menerusi video berdurasi 1 minit 11 saat yang dimuat naik di Twitter pada 29 Mei lalu.

Kanak-kanak itu juga memberitahu, pelajar berada di kelas enam dan tujuh yang perlu diberikan tugasan sekolah lebih banyak tetapi bukan kepada kanak-kanak seusianya.

Dia juga menyenaraikan semua mata pelajaran yang perlu dipelajarinya.

"Terdapat satu kelas bahasa Inggeris, matematik, diikuti kelas Kajian Alam Sekitar (EVS) dan kemahiran komputer," kata kanak-kanak itu.

Video yang ditonton lebih 482,000 tontonan turut menarik perhatian Leftenan Gabenor Jammu dan Kashmir, Manoj Sinha.

Menerusi ciapan Twitter Manoj, pihaknya telah mengarahkan jabatan pendidikan mengambil serius aduan berkenaan dan akan mengeluarkan polisi terbaru dalam tempoh 48 jam bagi meringankan beban kerja sekolah kepada kanak-kanak yang perlu mengikuti pembelajaran dalam talian di rumah.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kanak-kanak merupakan anugerah Tuhan dan mereka harus melalui zaman kanak-kanak dengan perasaan gembira dan bahagia.

Di India, sebahagian sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19 yang meragut nyawa lebih dari 329,000 nyawa sejak melanda negara itu tahun lalu hingga 'memaksa' pelajar mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.