Perkhidmatan bekalan elektrik tidak terjejas sepanjang PKP

TNB
TNB
A
A
A

SHAH ALAM - Perkhidmatan pembekalan elektrik dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 1 Jun 2021.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, bagi sektor pembekalan elektrik di Semenanjung dan Sabah, aktiviti yang dibenarkan adalah pemulihan bekalan, pembaikan kerosakan dan pengendalian sistem bekalan elektrik.

“Pelaksanaan projek pengukuhan sistem dan penyelenggaraan yang kritikal bagi sistem bekalan elektrik yang akan ditentukan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) juga dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, perkhidmatan pengguna iaitu bacaan meter dan penghantaran bil fizikal di premis pelanggan turut dibenarkan beroperasi.

“Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ia tertakluk pada kelulusan pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, operasi kedai tenaga di Semenanjung beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 1 petang manakala pusat khidmat pelanggan di Sabah tidak akan beroperasi sepanjang tempoh PKP penuh.

Menurut beliau, urusan bayaran bil, pertanyaan berkaitan bil dan akaun, pemotongan dan penyambungan bekalan serta aduan dan permintaan perkhidmatan lain boleh dibuat secara atas talian atau hubungi TNB CareLine (1300-88-5454 atau 15454) dan SESB CareLine (088-515000 atau 15454).

“Urusan bayaran bil juga boleh dibuat di mesin kios pembayaran layan diri beroperasi dari pukul 8.15 pagi hingga 8 malam di Semenanjung dan 24 jam di Sabah,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Shamsul, bagi aktiviti pembangunan tenaga boleh baharu, projek sedia ada perlu diteruskan bagi memastikan keselamatan awam dan tapak projek.

“Kerja pembangunan projek tenaga boleh baharu bawah Program Large Scale Solar (LSS), Net Energy Metering (NEM) dan Feed-In Tariff (FiT) tidak dibenarkan.

“Bagi loji jana kuasa bekalan elektrik yang bersambung ke grid (termasuk loji jana kuasa mini hidro, solar, biojisim dan biogas) yang telah beroperasi, hanya kerja operasi harian dibenarkan dengan bilangan pekerja tidak lebih 30 peratus dan had maksimum sebanyak 50 peratus,” ujarnya.

Jelas beliau, tiada pemotongan bekalan elektrik di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh PKP penuh.

Sementara itu, Shamsul berkata, bagi sektor pengurusan perhutanan di Semenanjung, hanya operasi penguatkuasaan dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk memastikan kawasan litupan hijau dan hutan terus terpelihara.

“Aktiviti di Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri tidak dibenarkan kepada pengunjung,” jelasnya.

Menurut beliau, hanya operasi penguatkuasaan sektor pengurusan hidupan liar dan kawasan perlindungan dibenarkan beroperasi tanpa kehadiran pengunjung.