Polis Selangor akan rakam keterangan ibu Neelofa

Nik Ezanee - Foto FB Polis Selangor
Nik Ezanee - Foto FB Polis Selangor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Selangor akan merakam keterangan ibu kepada usahawan dan selebriti popular, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed untuk membantu siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui laman Instagram (IG) miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sebelum ini kes itu disiasat polis Kuala Lumpur, namun telah diserahkan kepada pihaknya selepas mendapati insiden itu berlaku di Selangor.

"Jika perlu, kita akan memanggil semula wanita berkenaan untuk melengkapkan siasatan.

“Saya dimaklumkan wanita itu membuat laporan polis di Kuala Lumpur dan percakapannya sudah direkod oleh polis di kontinjen berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan Noor Kartini, 54, memaklumkan dia menyedari isu tangkap layar daripada 'Instagram Story' miliknya setelah tular di media sosial.

“Saya ingin jelaskan, perkara tersebut berlaku di atas kecuaian salah seorang pekerja saya yang mempunyai akses kepada akaun Instagram saya," katanya.

Pada Isnin, polis dilaporkan memulakan siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui laman IG Noor Kartini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar dipetik berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan perkara itu pada jam 5.44 petang semalam oleh pemilik akaun Instagram berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Selangor akan rakam keterangan ibu Neelofa