Cedera rakan guna besi, pengurus pasar raya didenda RM4,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara berlaku perselisihan faham dengan rakannya, seorang pengurus di sebuah pasar raya pada Isnin didenda RM4,000 atau dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana mencederakan muka mangsa menggunakan sebatang besi.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman ke atas Ho Siew Long, 66, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap pemandu lori, R Saravanakobe, 45, di kawasan pemunggahan barang di sebuah pasar raya di Gombak pada 6.30 petang, 4 Mei lepas.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Difahamkan, mangsa mengalami calar di bahagian muka.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul’ Ain Shafie memohon hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira kecederaan dialami mangsa, namun peguam M Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minima atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga. - Bernama

Artikel Berkaitan: