'Total lockdown': Pulau Pinang benarkan solat Jumaat, fardu di masjid

JHEAINPP membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di semua masjid dan surau Jumaat di negeri ini sepanjang tempoh penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula 1 Jun ini. - Gambar hiasan
JHEAINPP membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di semua masjid dan surau Jumaat di negeri ini sepanjang tempoh penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula 1 Jun ini. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di semua masjid dan surau Jumaat di negeri ini sepanjang tempoh penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh yang akan bermula 1 Jun ini.

Bagaimanapun pelaksanaan solat Jumaat hanya melibatkan seramai 15 orang jemaah yang terdiri daripada jawatankuasa masjid dan surau, siak dan ahli kariah dengan mengamalkan prosedur operasi standard yang ditetapkan termasuk penjarakan fizikal satu meter.

Dalam pekeliling yang dikeluarkan jabatan itu pada Isnin itu turut membenarkan pelaksanaan solat fardu berjemaah dengan kadar bilangan maksimum iaitu seramai 15 orang.

Selain itu, solat jenazah yang tidak melibatkan pesakit Covid-19 dibenarkan diadakan di dalam masjid namun aktiviti menziarahi kubur masih tidak lagi dibenarkan.

Pengarah JHEAINPP, Mohd Zakuan Zakaria berkata, keputusan itu diambil selepas perbincangan khas diadakan bersama Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selain mengambil kira pandangan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Noor.

Katanya, dalam perbincangan itu turut diputuskan kebenaran menggunakan ruang solat musafir di surau dan masjid di seluruh negeri ini.

"Kita turut memberikan kebenaran aktiviti ceramah dan kuliah pengajian yang dijalankan menerusi dalam talian sahaja.

"Aktiviti pengimarahan masjid dan aktiviti sosial secara bersemuka tidak dibenarkan buat masa ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, arahan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau akan dikemas kini dari masa ke masa tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 serta atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.