Lelaki tembak kereta bekas isteri ditahan

Anggota polis melakukan pemeriksaan di lokasi selepas menerima laporan berhubung kejadian tembakan di Tapang, Kota Bharu, pada Ahad.
Anggota polis melakukan pemeriksaan di lokasi selepas menerima laporan berhubung kejadian tembakan di Tapang, Kota Bharu, pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes menembak kereta yang dipandu bekas isterinya dalam kejadian di Kampung Lorong Bayam Pinggir, Tapang, di sini pada Ahad.

Kejadian yang berlaku pada jam 7.30 malam disyaki bermotifkan cemburu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, wanita berusia 30 tahun itu dikatakan memandu kereta jenis Kia Rio dalam perjalanan pulang ke rumah bersama tiga anak yang berusia 13, 5 dan 3 tahun.

“Semasa berada di Lorong Bayam Pinggir, Tapang wanita berkenaan terdengar bunyi seperti tembakan dan cermin belakang kereta pecah. Bagaimanapun mangsa tidak nampak senjata berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, suspek dipercayai bekas suaminya yang dilihat mengekori mangsa berdasarkan kereta yang digunakan.

Menurut Wan Khairuddin, mangsa dan anak-anak bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan pemeriksaan ke atas kenderaan tidak menemui anak peluru atau kelongsong yang didakwa digunakan.

“Soal siasat orang awam mendapati tidak mendengar sebarang bunyi tembakan dilepaskan,” katanya.

Kata beliau, susulan itu, bekas suami mangsa ditahan di rumahnya di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini pada jam 7 pagi Isnin.

Artikel Berkaitan:

“Perintah reman akan dimohon terhadap suspek yang berusia 30-an itu bagi menjalankan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaaan kerana cubaan bunuh,” katanya.