X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Bahrain tawar kemudahan latihan kepada Malaysia

Hamidin (dua dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada Sheikh Ali Khalifa di Riffa, Bahrain. - Foto FAM
A
A

SKUAD futsal dan bola sepak wanita kebangsaan menerima perkhabaran gembira apabila ditawarkan menggunakan kemudahan di Bahrain bagi mengadakan kem latihan di luar negara pada masa depan.

Tawaran itu diberikan Persatuan Bola Sepak Bahrain (BFA) ketika pertemuan antara Presidennya, Sheikh Ali Khalifa Ahmed Al Khalifa dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Riffa, Bahrain, malam tadi.

Perjumpaan itu turut disertai Naib Presiden BFA Ali Ahmed Al Buainain dan Setiausaha Agung BFA Ebrahim Saad Al Buainain serta Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Menurut FAM antara perkara dibincangkan dalam pertemuan itu ialah isu semasa bola sepak dalam keadaan Covid-19 serta kerjasama antara kedua-dua persatuan dari aspek pembangunan dan pentadbiran.

“FAM juga mengucapkan terima kasih kepada BFA kerana membantu dalam penyediaan venue latihan dan penginapan pasukan sepanjang hampir seminggu skuad Harimau Malaya berlatih di Bahrain,” menurut kenyataan daripada FAM.

Hamidin, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kini bersama skuad Harimau Malaya di Bahrain dalam persiapan akhir menjelang baki tiga perlawanan Kumpulan G, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia yang tewas 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bahrain pada Jumaat lalu, berlepas ke Dubai hari ini bagi mengharungi pusingan kelayakan menentang tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!