Kempen jimat air dalam kalangan pelajar

Mohd Fazil ketika menyampaikan mesej penjimatan air di SMK Ayer Keroh, semalam.
Mohd Fazil ketika menyampaikan mesej penjimatan air di SMK Ayer Keroh, semalam.
A
A
A

MELAKA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang dalam usaha untuk mengurangkan tahap penggunaan air secara per kapita sebanyak 180 liter sehari menjelang tahun 2020.

Sehubungan itu, satu kempen akan dijalankan bagi memupuk kesedaran tentang amalan penggunaan air secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran terus berlaku.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata, antara usaha tersebut ialah termasuk melaksanakan program Sekolah Rakan SPAN.

Menurutnya, program bertujuan memberi kefahaman berkesan kepada pelajar terlibat tentang situasi semasa penggunaan air di samping memupuk kesedaran dan menjadikan mereka sebagai ejen penyampai.

“Berdasarkan kajian SPAN pada 2017, sebanyak 201 liter air digunakan setiap individu dalam tempoh sehari di negara ini yang mencakupi penggunaan untuk tujuan pengurusan kendiri seperti mandi, sedangkan mengikut amalan standard penggunaan air di seluruh dunia adalah sebanyak 150 liter sahaja dalam tempoh sehari.

“Harapan SPAN, pelajar terlibat akan berkongsi dengan rakan-rakan sama ada menerusi media sosial atau dari mulut ke mulut tentang kepentingan penjimatan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perkongsian tentang peranan SPAN serta kepentingan penjimatan penggunaan air kepada kira-kira 80 pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh di sini, semalam.

Hadir sama, Pengetua SMK Ayer Keroh, Mohd Yusri Seman.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fazil berkata, SMK Ayer Keroh adalah sekolah kedua terpilih di negara ini selepas Sekolah Kebangsaan Cheng yang diadakan pada sebelah pagi dan turut dihadiri Ahli Suruhanjaya SPAN, Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan.

“SPAN menyasarkan sekurang-kurangnya lima buah sekolah untuk pelaksanaan program Sekolah Rakan SPAN.

“Antara pengisian ditekankan ialah kesedaran terhadap cara penggunaan air yang tidak betul misalnya ketika mencuci kenderaan dan di dalam bilik air,” katanya.