Kerana prinsip, saya tak akan tarik laporan polis terhadap Papagomo

Syed Saddiq berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Pemuda PH di Beranang malam tadi.
A
A

SEMENYIH - Laporan polis yang dibuat terhadap Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris tidak akan ditarik semula , tegas Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, tindakan yang diambilnya itu berasaskan prinsip yang dipegang beliau iaitu berdasarkan 'berani kerana benar'.

“Bab ini kena berani kerana benar. Polis dah ada gambar, ada video dan keterangan saksi.

“Jadi bagi saya biar mereka (polis) putuskan dalam bab ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pemuda Pakatan Harapan (PH) di Beranang malam tadi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata siasatan awal polis mendapati Wan Muhammad Azri atau dikenali sebagai Papagomo tidak melakukan kesalahan serius terhadap Syed Saddiq.

Papagomo ditahan di rumahnya di Danau Kota, Setapak, kira-kira pukul 3 petang Ahad, selepas dipercayai terbabit dalam insiden serangan ke atas Syed Saddiq di Kajang.

Mengulas lanjut, menurut Ahli Parlimen Muar itu menegaskan daripada apa yang polis maklumkan padanya, kawasan yang dilaluinya semasa penamaan calon pada Sabtu lalu adalah bukan kawasan himpunan BN.

“Kawasan yang saya lalu itu bukan kawasan himpunnya BN, ianya jauh daripada lokasi..ini bukan saya kata, polis yang kata.

“Mereka datang daripada jauh untuk kejar kita dan dia lontarkan anjing hancing, babi, bangang..saya hanya beri salam. Mereka boleh menggunakan taktik kotor ini tapi rakyat yang akan memerhati,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang medianya juga Syed Saddiq menyatakan beliau menghormati keengganan calon PH bagi PRK Semenyih Muhammad Aiman Zainali yang enggan berdebat dengan calon lain.

“Dalam bab ini, Aiman daripada dulu lagi dia kurang bercakap dan lebih kepada berkhidmat kalau kita lihat track recordnya disini dimana beliau banyak bantu belia dan NGO khususnya.

“Saya rasa itu kekuatan beliau dan saya hormatinya,” katanya.

Syed Saddiq turut diminta mengulas mengenai Aiman yang tenggelam dengan fenomena bossku yang dipelopori oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya rasa bossku ialah ‘double edge sword’. Semua orang lihat pada Najib dan bukannya pada calon BN,” katanya.