Penduduk luar ambil kesempatan jalani saringan percuma

Orang ramai menunggu giliran bagi menjalani ujian saringan Covid-19 percuma di DUN Pelabuhan Klang pada Ahad.
Orang ramai menunggu giliran bagi menjalani ujian saringan Covid-19 percuma di DUN Pelabuhan Klang pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Penduduk di luar kawasan Klang mengambil kesempatan bagi menjalani ujian saringan Covid-19 secara percuma menjelang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau 'total lockdown' bermula 1 Jun ini.

Pengurus SELCare Clinic, Mohd Noor Md Nasir berkata, pihaknya menyasarkan sekitar lima ke 10 peratus penduduk luar bakal menjalani saringan percuma itu di baki dua lokasi penganjuran selepas ini melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran dan Sentosa.

Menurut Mohd Noor, kerajaan Selangor tidak menghalang mana-mana individu luar untuk menjalani saringan percuma itu dan pendaftaran juga boleh dilakukan menerusi aplikasi SeLangkah.

"Kebanyakan masyarakat menggunakan kesempatan bagi mengikuti proses saringan percuma menjelang PKP penuh pada 1 Jun ini malah, kita lihat ada juga penduduk luar yang datang mengikuti inisiatif kerajaan Selangor ini," katanya kepada Sinar Harian selepas meninjau Program Saringan Percuma DUN Pelabuhan Klang, pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Noor berkata, sejak saringan percuma itu dilaksanakan, pihaknya juga ada menerima beberapa kes melibatkan individu bergejala seperti demam, selesema atau sakit tekak.

Beliau berkata, individu bergejala ini akan diberi keutamaan untuk menjalani saringan berkenaan dan tidak perlu menunggu proses yang lama.

"Kita mengambil langkah waspada ke atas mereka yang bersimptom atau orang disyaki ini sehingga keputusan saringan keluar," katanya.

Tambah Mohd Noor, proses saringan berkenaan juga mendapat sambutan memberangsangkan sejak pelaksanaannya meliputi semua golongan termasuk warga emas, golongan kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh DUN negeri ini dengan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) bermula 8 Mei lalu hingga 10 Jun ini.

Program itu menyasarkan saringan untuk individu yang berisiko, kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.