Polis tambah kawat duri, elak cubaan rentas secara haram

Perkongsian rakaman dron di media sosial Facebook pada Jumaat lalu menunjukkan seorang lelaki yang melakukan aktiviti berbasikal cuba melepasi sekatan penghadang konkrit.
Perkongsian rakaman dron di media sosial Facebook pada Jumaat lalu menunjukkan seorang lelaki yang melakukan aktiviti berbasikal cuba melepasi sekatan penghadang konkrit.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Polis memasang kawat duri di jejambat sempadan Parit Buntar ke Nibong Tebal, di sini selepas mengesan cubaan rentas secara haram dilakukan seorang penunggang basikal sepertimana video tular Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kawat duri itu telah dipasang pada Sabtu dilaksanakan hasil kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), polis telah pun menutup laluan terbabit menggunakan halangan penghadang konkrit, namun masih ada segelintir pihak yang cuba menyeberangi sempadan berkenaan.

"Kita sudah pun meletakkan kawat duri di kawasan itu semalam (Sabtu). Polis ingin mengingatkan orang ramai agar terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang ditetapkan.

"Diharap insiden seperti ini tidak berulang dan jika masih berdegil, kompaun akan dikeluarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, rakaman dron berdurasi 1.55 saat itu bukan milik pemantauan polis, sebaliknya orang awam.

"Kita akan teruskan pemantauan sepanjang PKPD ini dan orang ramai dinasihatkan duduklah di rumah, jangan keluar jika tiada keperluan mendesak," katanya.

Jumaat lepas iaitu hari pertama pelaksanaan PKPD Mukim Parit Buntar, seorang lelaki telah dirakam oleh dron ketika cuba untuk merentas sempadan di jejambat pekan lama Parit Buntar sekitar jam 7 pagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam rakaman video penuh itu, dia kelihatan cuba melepasi sekatan penghadang konkrit ketika melakukan aktiviti berbasikal, namun membatalkan hasrat dan berpatah balik apabila ternampak aksinya itu sedang dirakam dron.

Mukim Parit Buntar dikenakan PKPD bermula 28 Mei hingga 10 Jun depan dan jalan yang ditutup sepenuhnya termasuklah jalan sempadan ke lampu isyarat Hospital Parit Buntar, Jalan Dewan Parit Buntar ke Nibong Tebal (Taman Pekaka) serta beberapa laluan tikus yang telah dikenal pasti.

Polis turut mendirikan sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Petronas Kampung Kedah, hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Serong, Jambatan Batu 5 dan Jalan Abdul Raof.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!