PKPD di beberapa lokaliti di tiga negeri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak bermula Isnin ini sehingga 13 Jun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang dilaksanakan di Negeri Sembilan membabitkan tiga kawasan perumahan Mukim Juasseh, Kuala Pilah iaitu Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh.

Beliau berkata, untuk PKPD di Sabah, kerajaan bersetuju melaksanakan di Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), Mukim Tungku di Lahad Datu dan Kampung Padawan, Papar.

“Kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di tiga rumah panjang Ulu Sungai Sebakong Mukah, Sarawak iaitu Rumah Panjang Rimong anak Kilat, Rumah Panjang Asin anak Aji dan Rumah Panjang Bija anak Unggang.

"Pelaksanaan PKPD ini bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke luar lokaliti tersebut,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Ismail berkata, kerajaan turut bersetuju menamatkan PKPD di Seri Kemunting, Kuantan dan Kampung Paya Teh, Jerantut di Pahang pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pelanjutan PKPD juga di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah bermula Isnin sehingga 13 Jun ini.

“Sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 336 ujian saringan dan 53 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa sama, KKM mendapati kes masih lagi menular di lokaliti tersebut serta terdapat juga sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, seramai 617 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Jumaat.

“Daripada jumlah itu, seramai 579 individu dikompaun, manakala 38 lagi direman,” katanya.